Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

8,888 Mahasiswa UTM Terima Bantuan Sekali Beri Mahasiswa Anak Johor 2025

By 5 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 5 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 8,888 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru menerima bantuan sekali beri Mahasiswa Anak Johor 2025 dengan peruntukan berjumlah RM1.77 juta yang disampaikan di Dewan Seri Perdana, UTM, semalam.

Bantuan tunai sekali beri kepada mahasiswa yang lahir atau menetap di Johor sekurang-kurangnya lima tahun tanpa mengira pendapatan atau tahun pengajian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata bantuan tunai sebanyak RM200 seorang itu merupakan sebahagian daripada Insentif Mahasiswa Johor (IMAJ) yang disalurkan melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) bagi meringankan beban mahasiswa asal Johor.

“Bantuan tersebut diberikan kepada mahasiswa yang lahir atau menetap di Johor sekurang-kurangnya selama lima tahun, tanpa mengira tahap pendapatan keluarga atau tahun pengajian.

“Kerajaan negeri komited mengembalikan hasil kepada rakyat, dengan Johor mencatat kutipan hasil RM2 bilion tahun lalu berbanding sasaran RM1.9 bilion dan dijangka mencapai RM2.4 bilion tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan bantuan berkenaan, di sini.

Jafni, berkata kerajaan negeri menunaikan tanggungjawab sosial dengan menyalurkan hasil kepada rakyat melalui bantuan tunai dan inisiatif pembangunan.

Mohd Jafni menegaskan kerajaan negeri sentiasa menunaikan tanggungjawab sosial dengan mengagihkan sebahagian hasil negeri kepada rakyat bukan sahaja dalam bentuk bantuan tunai, tetapi juga melalui pelbagai inisiatif pembangunan.

“Antaranya termasuk pembaikan jalan, penambahbaikan sistem perparitan serta pelaksanaan program kesejahteraan rakyat seperti Jualan Kasih Johor yang dijalankan di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap bulan,“ katanya.

Turut hadir Pengarah Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar UTM Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, Pengurus Besar YPJ Nor Azleena Abdul Rahman, Presiden Gabungan Mahasiswa Anak Johor (GAJ) Muhammad Irfan Firdaus Md Fauzi dan wakil Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI) Firzanah Uzma Mohamad Jauhari.

-RI

Tinggalkan komen anda