Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Gangguan Bekalan Air Akibat Pencemaran Sungai Johor Pulih Sepenuhnya

By 6 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Fazli Salleh (Johor)

JOHOR BAHRU, 6 Nov (MalaysiaAktif) – Isu pencemaran di Sungai Johor yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak terancang di beberapa kawasan di daerah ini telah pulih sepenuhnya malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Fazli Salleh berkata kawasan Taman Impian Emas, Taman Bukit Impian dan Taman Anggerik Emas merupakan antara lokasi terakhir yang menerima pemulihan bekalan air secara berperingkat.

Kawasan Taman Impian Emas, Taman Bukit Impian dan Taman Anggerik Emas merupakan antara lokasi terakhir yang menerima pemulihan bekalan air secara berperingkat.

“Air di Tangki Impian Emas pada 3 petang semalam berada pada paras 0.4 meter, iaitu masih belum mencapai paras minimum stabil sebanyak satu meter. Kapasiti keseluruhan tangki ini ialah 10 juta liter sehari (MLD).

“Langkah proaktif diambil oleh Ranhill SAJ dengan menggunakan kaedah inline injection, iaitu bekalan air daripada lori tangki disalurkan terus ke tangki utama di kawasan Taman Bukit Impian dan Impian Emas,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, peningkatan mendadak penggunaan air serta tindakan simpanan panik oleh pengguna turut menjejaskan paras tangki utama di beberapa lokasi, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan tidak sekata.

“Saya mewakili kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang telah bekerja tanpa henti sejak tiga hari lalu serta kepada rakyat Johor atas kesabaran dan kerjasama mereka dalam menghadapi situasi ini.

“Kerajaan negeri bertindak segera dengan meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan mengurangkan tahap kekeruhan di Sungai Johor,” katanya.

Gangguan bekalan air berkenaan berpunca daripada kejadian pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang pada Jumaat lalu, yang menjejaskan operasi empat loji rawatan air (LRA) yang bergantung kepada sumber air mentah sungai berkenaan dan memberi kesan kepada kira-kira dua juta pengguna.

Fazli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan hanya merujuk kepada saluran rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai bekalan air.

-RI

Tinggalkan komen anda