Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

Latihan Simulasi Bencana Empangan Beris 2025 Uji Kesiapsiagaan Agensi dan Penduduk Sik

By 7 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Sazali Ab Hamid (Sik)

SIK, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Latihan Simulasi Bencana Empangan Beris 2025 yang diadakan di kawasan Empangan Beris, di sini semalam menguji tahap kesiapsiagaan agensi keselamatan dan masyarakat setempat dalam menghadapi kemungkinan bencana sebenar di daerah berkenaan.

Mohd Akmal Azimi ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Program anjuran Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sik dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelbagai agensi lain itu mensimulasikan insiden kerosakan empangan akibat letupan bom ikan oleh nelayan tempatan.

Menurut kenyataan penganjur, latihan berkenaan bertujuan menilai kecekapan pasukan penyelamat, agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan dalam melaksanakan tindakan kecemasan bersepadu sekiranya berlaku bencana sebenar yang melibatkan struktur empangan.

Majlis perasmian latihan disempurnakan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Mohd Akmal Azimi yang mewakili Pegawai Daerah Sik.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat menjayakan program berkenaan.

Gimik letupan yang berlaku.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan mengambil bahagian dalam simulasi ini. Diharapkan latihan ini dapat dimanfaatkan sebagai panduan menghadapi situasi sebenar sekiranya berlaku bencana,” katanya.

Program berkenaan juga menjadi platform memperkukuh kerjasama antara agensi keselamatan dan pihak berkuasa tempatan di samping meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti setempat menghadapi sebarang kemungkinan.

Penganjuran Latihan Simulasi Bencana Empangan Beris 2025 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan daerah bersama agensi keselamatan dalam memastikan keselamatan penduduk, kestabilan kawasan tadahan air serta keutuhan infrastruktur penting di Daerah Sik sentiasa terjamin.

-RI

Tinggalkan komen anda