
Laporan/foto: Norulhuda Mohd (Kota Setar)
KUALA KEDAH, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Jeruk maman, sayur peraman tradisional yang sinonim dengan kehidupan desa di negeri Kedah, terus menjadi hidangan istimewa dalam kalangan masyarakat setempat meskipun berdepan kepelbagaian citarasa moden masa kini.
Pucuk maman muda yang dipetik segar biasanya diperam bersama garam dan air selama beberapa hari sehingga menghasilkan aroma masam yang tersendiri.
Setelah cukup tempoh, ia dimasak sebagai gulai lemak, tumis sambal atau dijadikan pelengkap kepada nasi panas menjadikannya sajian warisan yang kekal digemari generasi kini.

Pucuk maman.
Menurut penduduk tempatan, Hamizah Ahmad, 56, rasa unik jeruk maman mungkin agak asing bagi sesetengah orang, namun bagi mereka yang membesar di kampung, hidangan itu membawa nilai sentimental tersendiri.
“Rasa jeruk maman ini bukan sekadar masam atau lemaknya, tapi kenangan waktu kecil makan bersama keluarga. Ia rasa kampung yang tak boleh diganti,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Selain menjadi identiti rasa negeri Kedah, jeruk maman turut mencerminkan gaya hidup masyarakat tani yang menghargai hasil bumi di sekitar sawah dan paya.
Amalan yang diwarisi turun-temurun ini juga melambangkan kreativiti masyarakat dalam memelihara makanan agar tahan lama.
Tradisi tersebut bukan sahaja memperkaya khazanah kulinari tempatan, malah menjadi simbol jati diri dan kebijaksanaan masyarakat kampung dalam mengekalkan warisan makanan tradisional yang semakin mendapat tempat dalam usaha mengangkat nilai budaya tempatan.
-RI





