Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Program Bicara Eksekutif ESG, SDG Pacu Kedah ke Arah Pembangunan Lestari

By 7 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Warta Kedah

ALOR SETAR, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah menganjurkan Program Bicara Eksekutif: Environmental, Social and Governance (ESG) dan Sustainable Development Goals (SDG) Dalam Pembangunan Negara yang Mampan bersempena sambutan Hari Ozon Sedunia 2025 di Dewan Seri Mentaloon.

Program yang diadakan di sini semalam, menekankan kepentingan mengintegrasikan nilai kelestarian dan tadbir urus beretika dalam pembangunan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali, berkata sambutan Hari Ozon Sedunia mengingatkan masyarakat bahawa bumi ini adalah amanah bersama.

“Melalui pelaksanaan Protokol Montreal sejak 1989, dunia telah membuktikan bahawa kerjasama global mampu memulihkan lapisan ozon. Kini, kita perlu teruskan semangat itu dengan pendekatan lebih holistik berasaskan pembangunan mampan,” katanya ketika berucap merasmikan program.

Menurutnya, ESG dan SDG bukan lagi sekadar istilah dasar, sebaliknya menjadi panduan penting dalam merancang masa depan yang seimbang antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Prinsip ini, katanya perlu diterapkan dalam dasar negeri, perancangan wilayah serta penyampaian perkhidmatan awam.

Norizan turut menyeru agar kerajaan, industri dan institusi akademik memperkukuh kolaborasi dalam menjayakan agenda ESG dan SDG.

Program ini menjadi simbol komitmen Kedah ke arah pembangunan hijau serta mewujudkan kesejahteraan rakyat dan alam sekitar secara berimbang dan berterusan.

-RI

Tinggalkan komen anda