Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Bekalan Air Pulih Sepenuhnya, Kerajaan Johor Umum Rebat 15 Peratus Bil Air Oktober

By 7 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Isu gangguan bekalan air susulan insiden pencemaran kekeruhan di Lembangan Sungai Johor, Kota Tinggi pada 31 Oktober lalu telah pulih sepenuhnya.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata setakat pukul 9 malam kelmarin, semua akaun pengguna telah kembali menerima bekalan air seperti biasa.

Diskaun ini melibatkan sebanyak 292,158 akaun domestik dan bukan domestik termasuk rumah kediaman, rumah ibadat, premis perniagaan serta institusi kebajikan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin memohon maaf kepada seluruh Bangsa Johor yang terkesan akibat kejadian ini.

“Gangguan selama lima hari bukan perkara kecil kerana ia menjejaskan kelangsungan hidup rakyat, mengganggu aktiviti keluarga, operasi sekolah, hospital serta premis perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, kerajaan negeri amat memahami keresahan rakyat dan memandang serius setiap aduan serta cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh gangguan tersebut.

Bagi meringankan beban rakyat, kerajaan negeri bersetuju memberikan rebat sebanyak 15 peratus bagi bil air bulan lepas kepada semua pengguna yang terjejas.

“Diskaun ini melibatkan sebanyak 292,158 akaun domestik dan bukan domestik termasuk rumah kediaman, rumah ibadat, premis perniagaan serta institusi kebajikan, sebagai tanda penghargaan terhadap kesabaran rakyat menghadapi dugaan ini,” jelasnya.

Onn Hafiz turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, petugas barisan hadapan termasuk Ranhill SAJ, serta rakyat Johor atas kerjasama dan kesabaran mereka sepanjang tempoh gangguan bekalan air.

“Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus memperkukuh sistem bekalan air Johor bagi memastikan hak rakyat sentiasa terpelihara dan kesejahteraan Bangsa Johor terus terjamin demi kemakmuran negeri yang kita cintai ini,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda