
Laporan/foto: Shahmie Rozman
GUA MUSANG, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 33 orang daripada sembilan Komuniti MADANI Daerah Gua Musang telah berkunjung ke Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur dalam satu program yang bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai perjalanan serta fungsi institusi Parlimen sebagai pusat pentadbiran negara dan proses penggubalan undang-undang.

Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim menyambut kedatangan Pegawai Penerangan Daerah Gua Musang Norhayati Shamsu Anuar dan Komuniti MADANI Daerah Gua Musang.
Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berkata program sebegitu amat penting bagi memperkukuh kefahaman Komuniti MADANI tentang peranan Parlimen sebagai medan suara rakyat.
“Sebagai Komuniti MADANI, ahli jawatankuasa Komuniti MADANI hendaklah menggunakan peluang yang telah diberikan ini dan memanfaatkan ilmu ini sebagai pengetahuan yang sangat berguna,” katanya ketika beramah mesra bersama peserta lawatan, di sini semalam.
Sepanjang sesi lawatan di Parlimen Malaysia, rombongan telah dibimbing oleh Penolong Pegawai Penerangan Parlimen Wan Nafis Aiman Wan Raselan, yang memberikan penerangan mengenai fungsi, peranan serta kemudahan yang terdapat di institusi Parlimen.
Selain itu, peserta turut berpeluang menyaksikan secara langsung persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) serta urusan kerajaan yang lain.

Taklimat daripada Penolong Pegawai Penerangan Parlimen Wan Nafis Aiman Wan Raselan.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Gua Musang Norhayati Shamsu Anuar, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta daripada pelbagai latar belakang masyarakat.
“Kebanyakan peserta meluahkan rasa teruja apabila dapat melihat sendiri suasana sebenar persidangan di dalam Dewan Rakyat,” katanya.
-RI





