Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pahang Lancar Visit Malaysia 2026 – Pahang First

By 8 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 8 Nov (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pahang melancarkan Visit Malaysia 2026 – Pahang First sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Menteri Besar Pahang menyempurnakan gimik perasmian Pelancaran Kempen Visit Malaysia 2026 – Pahang First.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebagai negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadi, warisan dan budaya, Pahang perlu bersedia berada di barisan hadapan untuk menyambut kedatangan pelancong ke Malaysia khususnya ke negeri tersebut sempena VM2026.

“Sebagaimana titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), baginda menzahirkan bahawa negeri Pahang mempunyai pelbagai destinasi pelancongan yang menarik dan bertaraf antarabangsa.

“Baginda juga bertitah agar ekosistem alam semula jadi dipelihara melalui aktiviti rekreasi lestari, dan menyeru semua pihak sama ada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta agar memelihara alam sekitar dan sungai sebagai khazanah negeri yang berharga,” katanya sewaktu berucap di Majlis Pelancaran Visit Malaysia 2026-Pahang First, di sini kelmarin.

Wan Rosdy menunjukkan Buku Tahun Melawat Pahang 2026.

Ujarnya lagi, sektor pelancongan Pahang terus menunjukkan perkembangan positif dan memberangsangkan.

“Berdasarkan statistik kedatangan pelancong negeri ini bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, Pahang telah menerima seramai 11.44 juta pelawat, berbanding 10.2 juta pelawat dalam tempoh sama pada tahun lepas, iaitu peningkatan 12 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa walaupun hanya sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah pelancong sudah mencapai lebih 83 peratus daripada jumlah keseluruhan tahun lalu iaitu 13.74 juta pelawat, satu petanda yang amat baik menjelang tahun 2026 nanti,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda