
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 8 Nov (MalaysiaAktif) – Program Astronomi Inklusif@Sabah 2025 dilihat mampu meningkatkan keupayaan kognitif pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dalam mempelajari ilmu pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Guru PPKI Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon Mohd Fikri Hamid percaya program tersebut sarat dengan elemen pendidikan digital yang mampu merangsang pemikiran pelajar PPKI selaras dengan Gagasan Transformasi Sekolah 2025 (TS25) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Cikgu Mohd Fikri merakamkan gambar kenangan bersama guru dan pelajar PPKI SMK Tebobon semasa program berlangsung.
“Program ini satu pendekatan yang bagus terutama sekali untuk pelajar PPKI di mana ia memberi pendedahan dan memperkasakan kemahiran digital pelajar-pelajar istimewa ini.
“Setiap modul yang dianjurkan semasa program seperti pembuatan roket air, penggunaan dron mini serta pameran perkakasan sains digital secara tidakblangsung telah memenuhi sebahagian aspek terkandung di dalam Gagasan TS25 KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Aktif semasa Program Astronomi Inklusif @Sabah 2025 di U-Science UMS, di sini pada Khamis.
Sementara itu, guru PPKI SMK Inanam, Roslan Ramli berkata komponen STEM yang diperkenalkan pihak Planetarium Negara bersifat interaktif sekali gus sesuai dengan tahap pemikiran serta kecenderungan pelajar PPKI.
“Program ini mendedahkan mereka kepada ilmu sains angkas seperti planet, matahari dan banyak perkara disediakan oleh Planetarium Negara jarang mereka nampak. Hal ini memberi pendedahan serta membuka fikiran mereka mengenai STEM.

3. Cikgu Roslan bersama pelajar PPKI SMK Inanam yang turut serta dalam proses pembuatan kraftaangan daripada tanah liat.
“Pelajar PPKI ini, minda mereka secara automatik akan mudah teransang dengan input yang menyeronokkan, di peringkat sekolah juga sering adakan lawatan luar untuk memberi pendedahan secara praktikal,” katanya.
Program Astronomi Inklusif @Sabah 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu dihadiri kira-kira 300 peserta terdiri daripada warga pendidik dan murid PPKI sekolah rendah serta sekolah menengah.
Peserta berpeluang merasai sendiri pengalaman meneroka ilmu angkasa menerusi pameran Mini Planetarium, pameran dunia sains di U-Science, gambaran secara virtual mengenai planet serta ruang aksa menerusi Planet VR (realiti maya) dan aktiviti pencerapan matahari.
-RI





