
Laporan/foto: Priscilla Kathy Paul (Sarawak)
SERIAN, 8 Nov (MalaysiaAktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Cawangan Kuching bersama Pejabat Penerangan Daerah Serian mempergiatkan lagi Kempen Internet Selamat (KIS) ke sekolah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid sekolah rendah khususnya menerusi aktiviti turun padang oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) iaitu Info On Wheels.

Guru Besar Pragash Thomas Koruthu menyampaikan amanat kepada anak-anak murid Sekolah Kebangsaan St. Raymond Mujat.
Program di Sekolah Kebangsaan St. Raymond Mujat, di sini menerima sambutan luar biasa melibatkan 175 orang pelajar dan 18 orang guru.
Ceramah KIS disampaikan pegawai MCMC Ahmad Saufi Jemat.
Guru Besar Pragash Thomas Koruthu memuji usaha MCMC dan Pejabat Penerangan Daerah Serian yang melaksanakan program berkenaan dan berharap ia mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang keselamatan dalam talian.
Sementara itu, seorang guru, Theresa Justine Bueng menyatakan kegusarannya tentang tahap ketagihan penggunaan telefon pintar tanpa kawalan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang terdedah risiko keselamatan dan masalah sosial.

Penyampaian cenderamata oleh pegawai MCMC Ahmad Saufi Jemat (kiri) kepada salah seorang murid yang berjaya menjawab kuiz.
“Saya bersetuju sepenuhnya cadangan kerajaan tentang larangan penggunaan telefon pintar kepada pelajar di bawah 16 tahun.
“Larangan ini diharap dapat membantu peningkatan disiplin pelajar selain dapat mengurangkan risiko terdedah kepada kandungan tidak bermoral atau ganas,” katanya.
Pegawai Penerangan Daerah Serian George Humprey Dolek berkata program berkenaan melibatkan siri ceramah yang antaranya bertajuk Pengenalan kepada Keselamatan Dalam Talian, Privasi dan Perlindungan Data Peribadi dan Ancaman Dalam Talian – Buli Siber.
-RI





