
Laporan/foto: Nordin Yahya (Sarawak)
LAWAS, 8 Nov (MalaysiaAktif) – Permainan gasing tradisi Borneo antara warisan budaya yang masih dipelihara dalam kalangan masyarakat di Sabah dan Sarawak kerana ia bukan sekadar permainan rakyat, malah mencerminkan nilai seni, kemahiran dan semangat kekitaan masyarakat tempatan.

Gasing yang hampir siap.
Biasanya, gasing diperbuat daripada kayu keras seperti merbau atau belian dan proses pembuatan gasing memerlukan kemahiran serta ketelitian tinggi kerana bentuk dan berat gasing menentukan tempoh putarannya.
Permainan ini menggunakan tali yang dililit pada kepala gasing sebelum dilempar dan gasing yang berpusing paling lama melambangkan kemahiran pemain dalam tradisi masyarakat Borneo.
Menurut Pengerusi Persatuan Gasing Tradisi Lawas, Borhan Talip permainan gasing pernah hampir dilupakan, namun kini kembali mendapat sambutan baik hasil usaha persatuan dan sokongan masyarakat setempat.

Gelanggang gasing.
“Golongan muda kini semakin menunjukkan minat terhadap permainan ini dan kami berharap mereka dapat menjadi pewaris bagi meneruskan kelangsungan permainan gasing tradisi Borneo,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Kini, permainan gasing terus dipromosikan melalui pertandingan rasmi, pameran budaya serta program kesenian di peringkat daerah dan negeri sebagai usaha memastikan generasi muda tidak melupakan asal usul serta keunikan warisan nenek moyang yang menjadi simbol identiti dan kebanggaan rakyat Malaysia.
-RI





