
Laporan/ foto: Sarah Nur Saad/ Mohammad Ezwandi (Perak)
KUALA KANGSAR, 10 Nov (MalaysiaAktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan bahawa perbuatan yang berpotensi memecahbelahkan perpaduan dan hubungan harmoni antara kaum wajib ditentang dengan tegas.

Sultan Nazrin bertitah sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan di Istana Iskandariah
Baginda bertitah perpaduan ialah asas penting bagi menjamin kelangsungan, kerukunan, kemakmuran dan kemerdekaan negara ini.
“Usaha menyatupadukan rakyat semestinya menghadapi halangan besar apabila ada kalangan rakyat yang memilih mahu mensensasikan isu kaum, agama, negeri dan wilayah pada waktu yang kita sepatutnya lebih memberi fokus, mematangkan kerjasama dan mengukuhkan persefahaman yang dirintis dan dibina oleh pemimpin terdahulu,” titah baginda.

Suasana di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar
Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan di Istana Iskandariah, di sini semalam.
Istiadat tersebut diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-69 Sultan Perak.
Dalam titah yang sama, Baginda turut melarang perbuatan perebutan kuasa dan persengketaan dalam negara demi memelihara kemerdekaan.
-AA-





