Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Festival Baruh Bachok Bakal Jadi Acara Tahunan Kalendar Pelancongan Kelantan

By 10 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)

BACHOK, 10 Nov (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Kelantan berhasrat menjadikan Festival Baruh Bachok sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri bermula tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor bersama Timbalan Ketua Jajahan Bachok Nik Ahmad Shazzwan Nek Mumhammad serta tetamu kehormat yang lain menyaksikan acara-acara yang dipertandingkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor berkata festival berkenaan berpotensi besar untuk dikembangkan sebagai produk pelancongan baharu yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.

“Khususnya buat mereka yang ingin merasai pengalaman kehidupan kampung dan budaya tempatan,” katanya kepada Malaysia Aktif selepas merasmikan Festival Baruh Bachok 2025 di Kuchelong, di sini kelmarin.

Festival Baruh Bachok 2025 mencipta satu lagi detik bermakna buat daerah berkenaan apabila berjaya menarik perhatian ramai dengan keunikan konsep dan aktiviti yang berasaskan kehidupan masyarakat tani.

Pelbagai aktiviti tradisional berjaya mencuri perhatian pengunjung seperti igak itik dalam baruh, lumba kereta galo, larian dalam lumpur, tarik tali, pukul bantal dan pilih atah padi.

Suasana meriah dengan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat menjadikan festival berkenaan bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu inisiatif menghidupkan kembali warisan permainan rakyat dan semangat komuniti desa.

Acara lumba kereta galo di dalam baruh mendapat sambutan meriah di kalangan pesawah

Tambah Kamarudin lagi, sambutan luar biasa masyarakat setempat terhadap penganjuran festival berkenaan membuktikan bahawa acara berasaskan warisan dan kehidupan tradisional masih mempunyai tempat dalam hati rakyat dan boleh menjadi daya tarikan pelancongan yang autentik dan unik di Kelantan.

Walaupun tidak terletak di pesisir pantai seperti kebanyakan destinasi pelancongan di Bachok, pemandangan bendang yang terbentang luas memberi aura istimewa dan potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu berasaskan agro dan warisan kampung.

-AA-

Tinggalkan komen anda