Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Alumni 4B Pekan Erat Silaturahim, Semarak Warisan Kepimpinan Belia

By 10 November 2025November 12th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)

PEKAN, 12 Nov (MalaysiaAktif) – Pertemuan Alumni Bekas Ahli Belia 4B Kawasan Pekan menerusi program bertemakan ‘Biduk Berlalu Kiambang Bertaut’ membawa mesej mendalam tentang kesinambungan perjuangan dan warisan kepimpinan belia.

Fadhlul Hisham (kiri) dan Ahmad Mukhriz.

Program yang diadakan di bawah naungan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B) ini menghimpunkan tokoh-tokoh serta bekas pemimpin belia 4B yang pernah memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat di daerah Pekan sejak beberapa dekad lalu.

Menurut Pengerusi Alumni 4B Kawasan Pekan Datuk Ahmad Mukhriz Datuk Ahmad Fuad, program ini bukan sekadar medan pertemuan semula rakan seperjuangan, tetapi turut menjadi platform untuk membincangkan hala tuju baharu dalam memperkukuh jaringan komuniti serta menyumbang idea kepada pembangunan belia tempatan.

“Walaupun masa berlalu dan masing-masing membawa haluan, semangat 4B tidak pernah pudar. Alumni hari ini menjadi jambatan antara generasi, menyambung warisan kepimpinan dan semangat sukarelawan,” katanya ketika ditemui selepas sesi diskusi, di sini Sabtu lalu.

Sementara itu, salah seorang alumni, Fadhlul Hisham Ismail, 49, menyifatkan pertemuan ini sebagai peluang untuk mengenang kembali perjuangan zaman belia serta memperkukuh hubungan sesama ahli.

Sebahagian alumni 4B yang hadir.

“Dahulu kami aktif turun padang menggerakkan aktiviti kemasyarakatan dan membangunkan semangat kepimpinan di kalangan remaja. Kini, walaupun masing-masing telah berkeluarga dan berkerjaya, nilai keikhlasan dan perpaduan yang dipupuk dalam 4B tetap tersemat di hati,” ujarnya.

Tambah beliau, Alumni 4B wajar terus relevan sebagai wadah menyumbang idea dan pengalaman kepada generasi baharu agar semangat kebangsaan dan sukarelawan terus hidup subur dalam kalangan anak muda hari ini.

Sesi Diskusi Alumni turut menyorot kembali kejayaan serta pengalaman berharga dalam melaksanakan program kemasyarakatan, di samping mencetus idea baharu bagi memperkasakan peranan belia dalam konteks perjuangan alam belia.

-RI

Tinggalkan komen anda