Skip to main content
Berita TempatanSabah

Memartabat Budaya Sabah Melalui Teater Duzung

By 10 November 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus (Kota Kinabalu)/Facebook Jkkn Sabah

KOTA KINABALU, 10 Nov (MalaysiAktif) – Teater Muzikal Duzung kembali menyapa peminatnya di Kota Kinabalu buat tahun kedua dengan pementasan yang lebih segar dan bertenaga.

Mengangkat kisah rakyat serta warisan budaya etnik Sabah ke pentas seni, teater tersebut berjaya dipentaskan melalui kerjasama Produksi Seni Kreatif (PSK), Stage Production dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.

Sharifuddin ketika ditemui di Teater Muzikal Duzung.

Pengarah Teater Muzikal Duzung Sharifuddin Zainal, berkata idea asal pementasan ini tercetus berdasarkan kajian rakan sekerja beliau, Dr. Esterlina Lazarus, pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menjalankan penyelidikan mengenai masyarakat Rungus termasuk kisah asal usul tradisi pemakaian masyarakat Rungus.

“Daripada pementasan ini, kami berhasrat menjadikannya platform mencungkil bakat muda, sama ada di dalam atau luar universiti. Kami memang merancang untuk menjadikan Teater Muzikal Duzung sebagai acara tahunan. Setiap tahun, akan ada pembaharuan.

“Tahun lalu tiada sari kata menyebabkan penonton luar dari kalangan pelancong Barat dan Cina sukar memahami dialog, jadi tahun ini sari kata ditambah dan pasukan turut merancang membawa pementasan ke Kuala Lumpur dan Sarawak,” katanya ketika ditemui semasa pementasan Teater Muzikal Duzung di sini, pada Sabtu.

Salah seorang pelakon, Tommy Gedeus, 29, yang memegang watak Putera Akarulis, berkata beliau bersyukur kerana masih diberikan kepercayaan untuk terlibat dalam produksi tersebut.

Tommy Gedeus (kiri) bersama penonton Marcella Masatu (kanan) bergambar kenangan di Teater Duzung.

“Selepas dimaklumkan mengenai watak ini, saya mengambil kira-kira sebulan untuk membuat persiapan dan latihan dijalankan hampir setiap hari, termasuk lakonan, pergerakan dan penghayatan karakter.

“Seni persembahan di Sabah sebenarnya sangat tinggi dan ramai yang berbakat, cuma belum diketahui ramai, khususnya dalam memaparkan kebudayaan Sabah,” katanya.

Seorang lagi pelakon, Andre Doni, 22, yang kembali melakonkan watak Rinutad untuk tahun kedua percaya, pementasan kali ini mempunyai pembaharuan berbanding tahun sebelumnya.

“Cabaran kami adalah menyesuaikan diri dengan elemen baharu, berlatih, belajar dan bekerja dengan pasukan serta pelakon baharu. Ia satu pengalaman yang sangat bermakna,” jelasnya.

Salah seorang penonton, Marcella Masatu, 30, menyifatkan Teater Muzikal Duzung sebagai karya bermakna dan penuh nilai budaya untuk tatapan pelbagai lapisan usia.

“Teater ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghargaan terhadap budaya kita. Saya bangga melihat warisan Sabah diangkat dengan begitu indah dari segi keunikan bahasa, kostum tradisional dan jalan cerita yang kuat,” ujarnya.

Untuk makluman, Pementasan Teater Muzikal Duzung berlangsung selama tiga hari dari 7 hingga 9 November lalu di Auditorium JKKN Sabah.

Mitos Duzung mengisahkan Puteri Yanang, makhluk separuh ikan separuh manusia yang naik ke darat bersama tujuh puteri laut di mana konflik bermula selepas seorang lelaki Rungus bernama Rinutad mencuri ekornya dan mereka berkahwin.

-RI

Tinggalkan komen anda