Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

Elaun Galakan, Penubuhan Dewan Huffaz Bukti Johor Hargai Penghafaz Al-Quran

By 12 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Mohd Fared Mohd Khalid (Johor)

JOHOR BAHRU, 12 Nov (MalaysiaAktif) – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terus memperkukuh peranan dalam memartabat institusi tahfiz melalui pelaksanaan Elaun Galakan Menghafaz al-Quran Negeri Johor kepada penghafaz berumur 18 tahun ke atas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata RM3.9 juta diperuntukkan setiap tahun, manakala tambahan RM1.5 juta bagi tahun 2026 diluluskan sebagai penghargaan dan motivasi kepada para hafiz (orang yang menghafal al-Quran) di Johor.

Mohd Fared, berkata elaun itu diberikan kepada penghafaz berumur 18 tahun ke atas sebagai penghargaan dan motivasi kepada Huffaz Johor.

“Kerajaan negeri turut melaksanakan Skim Insentif Tahfiz Pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri Johor serta pelbagai inisiatif pendidikan lain bagi memperluas kefahaman umat terhadap kalamullah.

“Ini bukti kasih sayang dan penghargaan kita terhadap para penghafaz al-Quran di negeri Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ijtimak Huffaz Peringkat Negeri Johor 1447H/2025M yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.

Mohd Fared menegaskan pelbagai inisiatif yang dirancang mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja menghafaz, tetapi juga menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Johor bukan sahaja kaya dengan penghafaz al-Quran, tetapi kita mahu melahirkan generasi yang membudayakan kefahaman dan amalan berteraskan al-Quran dalam konteks media, ilmu dan budaya Qurani yang dinamik,” katanya.

Inisiatif yang dirancang menunjukkan komitmen kerajaan negeri melahirkan masyarakat yang menghafaz, menghayati dan mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan. – Mohd Fared

Beliau turut memaklumkan Johor menerima peruntukan tertinggi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjumlah RM21.88 juta yang disalurkan terus ke akaun sekolah bagi memastikan manfaatnya sampai sepenuhnya tanpa ketirisan.

“Kita bersyukur kerana Johor terus makmur dan diberkati. Pencapaian negeri dalam sektor halal dengan pelaburan bernilai RM10 bilion juga membuktikan hasil kemajuan negeri turut membawa limpahan rezeki kepada rakyat,” katanya.

Mohd Fared menzahirkan harapan agar Johor terus melahirkan generasi Qurani yang berilmu, beramal dan memberi impak positif kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi negeri menuju kesejahteraan dan keberkatan berterusan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Nasri Md Ali, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ Mohd Radzi Mohd Amin.

-RI

Tinggalkan komen anda