
Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)
MANJUNG, 13 Nov (MalaysiaAktif) – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan kesejahteraan pesara dapat diuruskan secara holistik dan berterusan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata sinergi itu dicapai melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP).
Wan Ahmad Dahlan berkata melalui kerjasama itu perkhidmatan seperti Kaunter MyPesara yang diperkenalkan Pejabat SUK sejak 2019 telah menjadi platform penting membantu pesara menguruskan hal berkaitan pencen, kad pesara, kemas kini maklumat dan khidmat nasihat persaraan.
“Inisiatif ini melengkapi pelbagai program yang dilaksanakan secara bersama oleh KWAP, termasuk Jelajah MyPesara yang memberi tumpuan kepada aspek kesihatan, pengurusan kewangan dan pembangunan kemahiran bagi memperkukuhkan kemandirian pesara semasa persaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Ziarah Pesara Negeri Perak di Taman Desa Bayu, Seri Manjung, di sini kelmarin.
Dalam sesi ziarah itu, pesara Toh Sakna Menteri Mohamed Zakaria Chu Osman, 85, ceria dan seronok atas kehadiran delegasi JPA yang diketuai Wan Ahmad Dahlan.
“Lawatan ini pun dah memberikan semangat bagi orang sakit dan memberikan suntikan semangat,” katanya yang telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 30 tahun sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah di Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Amirul Hakim ditemui di kediamannya di Lekir, Sitiawan.
Seterusnya, Wan Ahmad Dahlan yang diiringi Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Dr. Azlifah Bahari menziarahi pesara polis, Shafie Md Rejab, 63, yang berkhidmat sebagai Sarjan di Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengalami strok otak pada 26 Mac 2023 di Lekir, Sitiawan.
“Terima kasih kepada KWAP, JPA dan Tan Sri (Wan Ahmad Dahlan) sendiri kerana beliau sudi turun padang hari ini. Saya sangat bersyukur di atas peluang, kesempatan, serta bantuan yang diberikan kepada kami,” kata anaknya, Amirul Hakim Shafie, 26.
-RI





