Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Penyediaan Beg Kecemasan Langkah Awal Hadapi MTL

By 13 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)

PEKAN, 13 Nov (MalaysiaAktif) – Penyediaan beg kecemasan merupakan salah satu daripada langkah awal persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Ahmad Azmi menasihatkan orang ramai agar membuat persiapan awal bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pekan Kapten (PA) Ahmad Azmi Nafiah berkata persediaan awal itu membantu penduduk yang terkesan sekiranya banjir berlaku.

“Orang awam dinasihatkan untuk menyimpan nombor kecemasan APM 999, menyediakan beg kecemasan dan berpindah lebih awal sekiranya diarah. Kesedaran dan kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan bersama,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Tambahnya, pihaknya juga telah memperkukuh koordinasi bersama pelbagai agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan bagi memastikan operasi pemindahan dan bantuan dapat dijalankan secara pantas serta teratur.

Pemeriksaan peralatan penyelamatan turut dipastikan dalam keadaan baik.

“Latihan bersama dan simulasi banjir telah dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk di Kampung Pulau Jawa, Kampung Ganchong dan kawasan rendah sekitar Paloh Hinai. Pendekatan ini penting bagi memastikan semua pasukan penyelamat tahu peranan masing-masing apabila bencana berlaku,” katanya.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Pekan kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam menghadapi kemungkinan berlakunya bencana banjir sempena kedatangan MTL yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

“Kita telah melaksanakan semakan dan penyelenggaraan ke atas semua aset seperti bot penyelamat, trak, dan peralatan komunikasi bagi memastikan semuanya berfungsi dengan baik.

“Seramai 100 pegawai dan anggota APM Pekan kini berada dalam mod kesiapsiagaan penuh dan bersedia digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda