Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Karnival Lestari Hijau Bambusa Semai Budaya Cinta Alam Dalam Kalangan Murid Sekolah

By 13 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/SK Bebuloh

LABUAN, 13 Nov (Malaysiaaktif) – Karnival Lestari Hijau Bambusa Sekolah Kebangsaan (SK) Bebuloh berjaya menarik penyertaan warga sekolah dan komuniti setempat sekali gus menyemai semangat cintakan alam sekitar.

Menurut Guru Besar Maidan Dali@Sumardi Yusoff, program itu dianjurkan Kelab Lestari sekolah dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Labuan untuk meningkatkan pengetahuan murid tentang kepentingan penjagaan alam sekitar, menggalakkan amalan kitar semula, guna semula dan pengurangan sisa (3R) serta mewujudkan budaya sekolah yang hijau dan lestari.

Maidan (paling kiri) mengiringi Zulfadzli (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pelajar SK Bebuloh.

“Program ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran luar bilik darjah yang bermakna, tetapi juga mengukuhkan nilai tanggungjawab terhadap kelestarian bumi selain mampu melahirkan murid yang lebih peka terhadap isu alam sekitar dan mengamalkan gaya hidup hijau.

“Antara aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang karnival ialah ceramah bertajuk ‘Ancaman Senyap Alam Sekitar’ yang disampaikan Pegawai JAS Labuan yang memberi pendedahan kepada murid tentang bahaya pencemaran yang sering diabaikan serta langkah-langkah bagi memelihara alam sekitar,” katanya semasa ditemui media pada program itu, di sini semalam.

Jelasnya, beberapa pertandingan turut diadakan dengan melibatkan semua kategori murid sekolah itu seperti Pertandingan Kutipan Minyak Terpakai, Pertandingan Kutipan Tin Aluminium dan Pertandingan kreativiti daripada bahan terbuang.

Antara minyak masak terpakai yang berjaya dikumpul.

“Pertandingan ini telah berjaya mengumpul sebanyak 50 kilogram (kg) minyak terpakai manakala kutipan tin aluminium terpakai mencatatkan jumlah 95kg.

“Pada masa sama, seramai 16 murid telah menyertai Pertandingan Kreativiti Bahan Terpakai yang menampilkan inovasi, hasil seni dan kraftangan menggunakan bahan kitar semula,” katanya.

Program yang dirasmikan Pengarah JAS Wilayah Persekutuan Labuan Zulfadzli Zakaria itu turut dihadiri Penyelaras Karnival Lestari Hijau Bambusa Siti Hajar Imran@Ginulis, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Morosida Muslem dan guru SK Bebuloh.

-RI

Tinggalkan komen anda