
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
KLANG, 13 Nov (MalaysiaAktif) – Usaha gigih warga Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang dalam memperkukuh budaya pengurusan berteraskan nilai MADANI membuahkan hasil apabila meraih Anugerah Perak bagi Anugerah Kualiti Institusi Pendidikan MADANI (AKIPM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) peringkat sekolah rendah.
Kejayaan yang diraih pada tahun 2024 itu, sekali gus mengangkat nama sekolah berkenaan di peringkat kebangsaan, menjadikannya antara sekolah rujukan yang sering menjadi tumpuan lawatan daripada sekolah-sekolah lain.

Hazi (kiri) bersama gurunya, Iznan Shahme (tengah) dan Siti Zuraidah (kanan) teruja berkongsi ruang mesyuarat baharu SK Rantau Panjang yang bukan sahaja selesa dan moden, malah mampu menampung kapasiti sehingga 200 orang.
Bagi Guru Besar Hazi Kadir, pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin semangat seluruh warga sekolah untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam setiap aspek pengurusan dan kemenjadian murid.
“Penilaian AKIPM ini bukan mudah kerana ia melibatkan pelbagai komponen seperti kecemerlangan program, pengurusan organisasi, kepimpinan serta tatakelola penyampaian perkhidmatan.
“Kami bersyukur kerana pendekatan berasaskan konsep ‘kuguyupan’ yang bermaksud kerjasama yang diterapkan di kalangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, ibu bapa dan komuniti telah membuahkan hasil,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.
Sewaktu mula memimpin SK Rantau Panjang pada tahun 2023, Hazi mengakui berdepan beberapa cabaran antaranya isu aduan dan kemudahan yang menjadi antara fokus utama yang perlu diselesaikannya.
“Langkah pertama saya ialah memastikan kebajikan murid dan guru diberi keutamaan, kami bina tandas murid yang baharu, naik taraf bilik guru dengan pendingin hawa, ubah suai surau sekolah, sediakan bilik mesyuarat yang lebih selesa serta tempat menunggu berbumbung untuk ibu bapa,” katanya.
Kini, hasil penambahbaikan itu, SK Rantau Panjang mencatat sifar aduan melalui sistem pengurusan aduan yang efisien dan budaya komunikasi terbuka antara pentadbir, guru serta ibu bapa.

Bilik guru yang dilengkapi dengan penghawa dingin memberikan keselesaan kepada guru-guru SK Rantau Panjang.
SK Rantau Panjang yang mempunyai 3,100 murid dan 180 guru mencipta kejayaan baharu hampir setiap minggu dalam pelbagai bidang termasuk kokurikulum dan akademik.
“Sehingga bulan ini, kami berjaya meraih 54 pencapaian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk dalam bidang kajian tindakan, silat gayong, kelestarian alam sekitar serta inovasi pendidikan,” katanya bangga.
Dalam memastikan warga SK Rantau Panjang terus bermotivasi, pihaknya turut memperkenalkan Anugerah Khas Guru Besar sebagai penghargaan kepada guru yang menunjukkan prestasi luar biasa, di samping menggalakkan penyertaan aktif dalam Kajian Tindakan sebagai inisiatif pembangunan profesional guru.
Menjadikan ‘Serantau Hebat’ sebagai slogan, SK Rantau Panjang terus komited melahirkan murid cemerlang dalam akademik dan sahsiah, selaras dengan hasrat KPM dalam memperkasa institusi pendidikan melalui nilai MADANI.
Anugerah Kualiti Institusi Pendidikan MADANI (AKIPM) merupakan pengiktirafan tahunan KPM bagi menghargai institusi pendidikan yang mencapai tahap kecemerlangan menyeluruh dalam kepimpinan, pengurusan kualiti dan tatakelola bagi memastikan kemenjadian murid serta kemajuan sekolah secara holistik.
-RI





