
Laporan/foto: Abidin A Ghani/Mizan Ramli (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 14 Nov (MalaysiaAktif) – Di sebalik arus kemodenan yang semakin pesat, bunyi ‘khetuk-khetuk’ yang mengiringi langkah lembu di beberapa kampung di Hulu Terengganu masih menjadi simbol warisan Melayu lama yang penuh keunikan dan makna tersendiri.

Ismail Mamat tekun menyiapkan ‘khetuk lembu’ di rumahnya.
‘Khetuk lembu’, alat tradisional yang digantung pada leher lembu atau kerbau, bukan sekadar hiasan tetapi turut berfungsi sebagai penanda lokasi serta identiti pemilik ternakan.
Bunyi berirama yang dihasilkan setiap kali haiwan itu berjalan bagaikan muzik alam yang suatu ketika dahulu mewarnai suasana kampung.
Menurut penduduk tempatan Ismail Mamat, 43, dari Kampung Tengkawang ‘khetuk lembu’ biasanya diperbuat daripada buluh berang, kayu nangka, kayu cempedak atau teras kayu lebam yang mampu menghasilkan bunyi khas ‘khetuk-khetuk’ ketika lembu meragut rumput atau menggerakkan kepala.
“Dulu, orang kampung boleh tahu lembu siapa yang lalu hanya dengan dengar bunyinya. Ia bukan sekadar tanda pemilikan, tapi juga lambang kemegahan dan ketenangan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Proses mengukir kayu menggunakan peralatan tradisional untuk membentuk rangka asas ‘khetuk lembu’, warisan unik masyarakat Hulu Terengganu.
Menariknya, Ismail juga merupakan salah seorang pembuat ‘khetuk lembu’ dan hasil tangannya sering mendapat permintaan daripada pemilik lembu serta kerbau di sekitar kampung.
Beliau sentiasa menerima tempahan daripada orang ramai yang berminat untuk memiliki alat tradisional berkenaan sama ada untuk kegunaan sendiri atau sebagai koleksi warisan.
Walaupun semakin jarang dilihat, tradisi tersebut masih dipelihara penduduk setempat yang mahu memastikan irama lembu ber‘khetuk’ tidak lenyap ditelan zaman.
Ia menjadi bukti bahawa nilai tradisi, kreativiti dan identiti masyarakat Hulu Terengganu masih kekal hidup meskipun dunia terus berubah.
-RI





