
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)/Warta Kedah
ALOR SETAR, 17 Nov (MalaysiaAktif) – 141 projek telah berjaya dilaksanakan daripada 1,100 projek yang didaftarkan di bawah Reformasi Karenah Birokrasi (RKB), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Ketibaan Shamsul Azri di Wisma Darul Aman.
Beliau berkata projek berkenaan melibatkan Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran dan agensi-agensi pusat di Kerajaan Persekutuan.
“Projek-projek ini adalah proses kerja yang pada pandangan kita boleh dipermudah dan dipercepatkan.
“Hasil daripada 141 projek ini dilaksanakan dan diperbaiki serta dipermudahkan dari segi kos, kita telah jimat sebanyak RM1.4 bilion,” katanya.
?Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Negeri Kedah Tahun 2025 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini, semalam.
RKB merupakan agenda reformasi perkhidmatan awam yang disasar dapat menyokong pelaksanaan perubahan secara sistematik bagi mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan dan menjadikan urusan dengan kerajaan lebih mudah, cepat dan tepat.
Beliau berkata menerusi Deklarasi Kuala Lumpur pada 24 Oktober tahun lepas, semua Setiausaha Kerajaan Negeri Bersama memberi tekad bahawa menstransformasikan perkhidmatan awam adalah tugas bersama.

Turut hadir bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah.
“Keseluruhan kerajaan bukan hanya Kerajaan Persekutuan tetapi Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Tempatan mestilah terlibat sama.
“Satu jawatankuasa yang digunakan ataupun instrumen yang digunakan untuk melancarkan lagi agenda reformasi ini adalah penubuhan jawatankuasa yang dipanggil Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) bagi menjayakan RKB,” katanya.
?Dalam perkembangan sama, beliau berkata dalam tempoh setahun, pihaknya telah melaksanakan agenda Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang mencipta kejayaan di mana Malaysia mencatat lonjakan terbesar dalam sejarah terkini apabila melonjak 11 anak tangga untuk menduduki tangga ke-23 dunia dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, kedudukan terbaik negara sejak 2020.
-RI





