
Laporan/ foto: Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 17 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 296 peneroka Felda Pasak menerima geran hak milik manakala 170 generasi kedua Felda Air Tawar 3 menerima Notis 5A dalam majlis penyampaian yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Datuk Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor ketika berucap di Majlis Penyampaian Hak Milik Peneroka Felda Pasak Peringkat 4 dan Penyerahan Notis 5A Generasi Kedua Felda Air Tawar 3
Majlis penyerahan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Johor Datuk Zahari Sarip.
Pengurus Felda Pasak, Mohd Azrul Md Nayan, 37, berkata proses permohonan yang bermula pada 2022 akhirnya dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Daripada 296 peneroka asal, sebahagian besar telah meninggal dunia. Namun, 31 peneroka yang masih bersama keluarga hari ini dapat menyaksikan sendiri penyerahan ini, yang sangat bermakna bagi mereka dan keluarga,” katanya.
Penerima Notis 5A, Mohamad Ismail Abdul Rahim, 50, dari Felda Air Tawar 3, berkata beliau menunggu hampir enam tahun untuk memperoleh tanah Rizab Felda bagi membina rumah sendiri.

Mohamad Ismail Abdul Rahim, penerima Notis 5A Generasi Kedua Felda Air Tawar 3 berharap tanah yang diterima dapat menjadi aset untuk diwariskan kepada generasi seterusnya
“Saya sangat bersyukur sebagai generasi kedua dapat berpeluang memiliki tanah dan membina rumah sendiri. Peluang ini amat bermakna kerana tanah di luar Felda kini semakin mahal dan terima kasih kepada semua pihak yang menguruskan, dari jawatankuasa bertindak sehinggalah ke peringkat negeri,” katanya.
Mohamad Ismail juga menyatakan bahawa penerimaan Notis 5A itu menjadi permulaan penting untuk merancang pembinaan rumah, selain berharap tanah tersebut dapat menjadi aset keluarga dan terus diwariskan kepada generasi seterusnya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norliza Noh, Pentadbir Tanah Daerah Kota Tinggi, Nurul Ashikin A. Jabar, ketua-ketua jabatan serta barisan pengurusan Felda.
-AA-





