Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kerajaan Perkukuh Peluang Kerjaya Anak Muda Sabah Melalui MYFutureJobs Galaxy

By 17 November 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi/ Mohd Fadzhel Ramneh (Kota Belud)

KOTA BELUD, 17 Nov (MalaysiAktif) – Kerajaan terus memperkukuh akses pekerjaan untuk anak muda, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pekerja sektor ekonomi gig melalui pelancaran platform MYFutureJobs Galaxy oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Sabah.

Penerima sumbangan dan manfaat PERKESO bergambar bersama tetamu kehormat dan orang ramai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata komitmen kerajaan adalah memastikan rakyat Sabah memperoleh peluang kerjaya yang lebih luas tanpa perlu berhijrah ke negeri lain semata-mata untuk mencari pekerjaan.

Menurutnya, golongan muda adalah aset penting yang harus dibimbing, diberi ruang dan diangkat ke hadapan bagi menikmati peluang kerjaya yang setimpal.

“Anak-anak muda di Sabah tidak perlu lagi mencari pekerjaan di Semenanjung atau Sarawak. Kita mahu anak Sabah menerima gaji premium sekurang-kurangnya RM2,000 melalui kursus TVET (Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika menyempurnakan gimik pelancaran Karnival Lindung Kerjaya My Futurejobs@Kota Belud Sabah 2025.

“Kerajaan benar-benar berusaha membela nasib anak muda dalam sektor gig dan pendidikan TVET. Walaupun tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), kerajaan tetap akan menyediakan peluang pekerjaan yang baik di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Karnival Lindung Kerjaya MyFutureJobs @ Kota Belud Sabah 2025, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad berkata MYFutureJobs Galaxy adalah platform baharu berteraskan kecerdasan buatan (AI) yang berfungsi sebagai pusat rujukan kerjaya, sekali gus menambah nilai kepada sistem MyFutureJobs sedia ada.

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kadar pengangguran 6.2 peratus di Sabah tahun ini, iaitu yang tertinggi di seluruh negara.

“Oleh itu, masyarakat Sabah wajar memanfaatkan platform MYFutureJobs PERKESO bagi menurunkan kadar tersebut melalui peningkatan kebolehpasaran pekerjaan.

Pekerja baharu menerima surat tawaran kerja daripada majikan.

“Sejak 2020, MYFutureJobs telah mendaftarkan 3.1 juta pencari kerja di seluruh negara, termasuk 26,000 OKU dan 750,000 graduan TVET. Platform ini turut membantu pengguna memetakan kemahiran, merancang kerjaya serta memahami ramalan pasaran buruh,” katanya.

Karnival Lindung Kerjaya kali ini menghimpunkan 30 majikan dengan lebih 2,000 kekosongan jawatan ditawarkan, termasuk gaji sehingga RM16,000.

PERKESO Sabah juga merekodkan lebih 11,000 penempatan pekerjaan sehingga Oktober tahun ini.

Pelancaran MYFutureJobs Galaxy turut mengukuhkan peranan PERKESO sebagai peneraju pasaran kerja negara, selaras usaha penambahbaikan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi menyediakan perlindungan lebih relevan kepada rakyat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda