
Laporan/foto: Nyempal Inggang (Sarawak)
LUBOK ANTU, 17 Nov (MalaysiaAktif) – Terletak di pedalaman Sarawak, Tasik Empangan Hidro Batang Ai terus muncul sebagai antara pusat ternakan ikan air tawar paling produktif di negeri ini.
Dalam kalangan spesies yang diternak, tilapia Batang Ai semakin dikenali ramai kerana kualiti, kesegaran dan rasanya yang memikat selera.

Chamat Baraw menternak sendiri ikan tilapia di sangkar untuk dipasarkan di pasar tamu.
Tilapia yang diternak di tasik ini membesar dalam perairan jernih yang bebas pencemaran industri sekali gus memastikan mutu air sentiasa terpelihara.
Keadaan air yang sentiasa terpelihara, ditambah pula dengan arus yang perlahan dan stabil juga menjadikan kawasan ini sebagai habitat semula jadi yang amat sesuai untuk pertumbuhan ikan.
Faktor inilah yang menghasilkan tilapia lebih sihat, berdaging pejal serta mempunyai rasa manis yang menjadi keistimewaan utama ikan dari Batang Ai.
Tidak hairanlah keunikan ini menjadikan tilapia Batang Ai pilihan utama di pasar, restoran serta dalam kalangan pengguna yang mementingkan kesegaran dan kualiti.
Menurut peniaga Chamat Baraw, 58, selain menjadi sumber makanan, industri penternakan tilapia turut memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi setempat.
“Ramai penduduk terlibat dalam operasi sangkar, kerja pengangkutan dan urusan pemasaran,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
Tilapia yang dijual pada harga sekitar RM16 sekilogram di pasar tamu itu ternyata telah membantu menambah pendapatan keluarga, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan.

Ikan tilapia yang dijual oleh Pawa Ngumbang pada harga sekitar RM16.00 di pasar tamu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pengunjung.
Sementara itu, peniaga, Pawa Ngumbang, 55, berkata keindahan Tasik Empangan Batang Ai turut menarik pelancong dari dalam dan luar kawasan, menjadikan sektor pelancongan dan industri tilapia saling melengkapi.
Pengunjung bukan sahaja disajikan panorama alam semula jadi yang memukau, malah berpeluang menikmati keenakan tilapia segar yang baru diangkat dari sangkar.
Secara keseluruhannya, tilapia Batang Ai bukan sekadar hidangan di meja makan, tetapi lambang hubungan harmoni antara manusia, alam sekitar dan usaha gigih komuniti yang bergantung hidup pada tasik ini.
Dari permukaan airnya yang tenang, terserlah sumber rezeki yang mengalir kepada ramai, menjadikan tilapia Batang Ai satu warisan yang wajar terus dipelihara dan dihargai oleh generasi kini dan akan datang.
-RJ-







