
Laporan/foto: Siti Yusmila Yusof/Md Sazali Ab. Hamid (Sik)
SIK, 18 Nov (MalaysiaAktif) – Program Kesihatan Bersama Warga Emas yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan dan kepentingan gaya hidup aktif menerusi pelbagai aktiviti interaktif mampu membantu mengurangkan rasa terasing dalam kalangan warga emas.

Chair robik bersama Persatuan Senamrobik Daerah Sik.
Pakar Perubatan Keluarga Dr. Siti Nurhidayah Pazil berkata program anjuran Klinik Kesihatan Jeniang dengan kerjasama Panel Penasihat dan Diabetes Sik itu baik dalam memastikan warga emas mempunyai aktiviti untuk dilakukan selain memberi penekanan kepada golongan tersebut mengenai penjagaan kesihatan serta gaya hidup aktif.
“Ini membantu mencegah mereka daripada kemurungan dan kesunyian,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Dewan KEMAS, Bandar Baru Beris Jaya, di sini semalam.
Program yang menghimpunkan kira-kira 100 peserta warga emas itu dimulakan dengan aktiviti chair robik yang dikendalikan Persatuan Senamrobik Daerah Sik, Primadona sebelum diteruskan dengan funwalk mengelilingi kawasan Masjid Al-Islah sebagai usaha menggalakkan pergerakan fizikal ringan namun bermanfaat.
Peserta kemudiannya mengikuti dua sesi ceramah kesihatan iaitu Kesihatan Mental Warga Emas yang disampaikan oleh Siti Nurhidayah dan Warga Emas dan Ubat oleh Pegawai Farmasi Mohd Saiful Azwan Mohd Nordin.
Siti Nurhidayah dalam pada itu turut menyeru jabatan kerajaan, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) agar terus peka serta menganjurkan lebih banyak program mesra warga emas pada masa akan datang.

Peserta pertandingan Aneka Kerabu bergambar bersama juri.
Suasana program turut dimeriahkan dengan beberapa pertandingan seperti mewarna, hiasan pulut kuning dan aneka kerabu, sekali gus menambah elemen santai dan kreatif bagi menggalakkan penyertaan lebih aktif daripada komuniti setempat.
Pemeriksaan kesihatan turut dijalankan oleh pasukan Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Beris Jaya sebagai inisiatif memupuk amalan saringan awal penyakit tidak berjangkit.
Program berkenaan bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi, malah memperkasakan masyarakat untuk lebih prihatin terhadap kesejahteraan warga emas selaras dengan usaha membentuk komuniti yang sihat, aktif dan sejahtera.
-RI





