
Laporan/ foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Meijin Maginggow
KOTA KINABALU, 18 Nov (MalaysiaAktif) – Kiulu, yang terkenal dengan landskap semula jadi dikelilingi rimba dan jauh dari pembangunan pesat, kini semakin berkembang sebagai destinasi ekopelancongan inklusif berteraskan pelancongan komuniti (Community-Based Tourism, CBT).

Meiji (tengah) bersama kakitangan KTA sedang menerangkan kepada pengunjung yang datang di ruai pameran KTA di tapak Program Cuti-Cuti Malaysia 2026 di salah satu pusat membeli belah di Kota Kinabalu.
Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) Meijin Maginggow berkata organisasi itu telah berjaya mewujudkan 25 produk pelancongan berkonsepkan CBT yang diasaskan dan diurus sendiri oleh penduduk tempatan.
Sejak 2014, KTA kini katanya disertai seramai 78 pengusaha pelancongan tempatan yang menawarkan pengalaman pelancongan berkaitan kebudayaan tradisi, pengembaraan dan alam semula jadi.
“Kita bangga kerana produk pelancongan di Kiulu dibuat, diurus dan dioperasikan oleh orang kampung sendiri. Antara aktiviti yang menarik termasuk berakit air putih (White Water Rafting) yang dikendalikan penduduk tempatan selain syarikat pelancongan lain,” katanya ketika ditemui di Program Cuti-Cuti Malaysia 2026, di sini pada Ahad.
Meijin berkata Kiulu juga memiliki kawasan perkemahan yang menarik, dikelilingi lembah dan sungai cantik, yang menjadi tarikan utama pelancong.

Pelancong berpeluang mengalami sendiri aktiviti berakit di salah satu pusat ekopelancongan di Kampung Ratau, Kiulu.
Menurut beliau platform yang digerakkan KTA mampu meningkatkan potensi komersial industri desa, mencipta peluang pekerjaan baharu untuk generasi muda dan mengoptimumkan pendapatan keluarga petani.
“Dengan banyaknya kawasan perusahaan pelancongan, kita sudah mewujudkan lebih 400 peluang pekerjaan. Anak muda, belia dan warga tua tidak lagi bergantung sepenuhnya pada pertanian; kini mereka turut menjana pendapatan melalui pelancongan. Kiulu kini menjadi penanda aras pelaksanaan CBT di seluruh Malaysia, bukan sahaja di Sabah,” katanya.
-RJ





