Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kiulu Perkasa Agropelancongan, Usaha Ke Arah Pengiktirafan Cittaslow City

By 18 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Meijin Maginggow

KOTA KINABALU, 18 Nov (MalaysiaAktif) – Dengan keluasan sekitar 6,680 ekar kawasan pertanian dan diusahakan lebih 1,400 petani, daerah kecil Kiulu berpotensi tinggi untuk mengupayakan industri agropelancongan sebagai salah satu produk ekonomi di kawasan tersebut.

Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) Meijin Maginggow berkata pihaknya kini sedang menumpukan usaha untuk memperkenalkan konsep agropelancongan sebagai nilai tambah kepada produk pelancongan budaya, penjelajahan, dan alam semula jadi.

Tambahnya, pengusaha pertanian seperti pekebun nanas antara industri yang akan dikembangkan oleh pihak KTA sebagai salah satu produk agropelancongan dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama organisasi pelancongan antarabangsa.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai (kanan) melawat salah satu ladang nanas yang diusahakan petani tempatan di Kiulu.

“Kiulu ini ramai pengusaha pertanian dan yang paling terkenal di Kiulu antaranya ialah tanaman nanas. Sekarang kita menumpukan kepada perusahaan atau pertanian nanas untuk transformasikannya bukan setakat bagi menjana pendapatan hasil pertanian tetapi sebagai tarikan pelancongan.

“KTA telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Nanhua Taiwan yang akan membantu mengajar dan melatih 15 pengusaha atau penanam nanas di Kiulu tentang bagaimana pertanian berasaskan nanas boleh dijadikan produk pelancongan dan kejasama ini akan terjalin selama tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Cuti-Cuti Malaysia 2026, di sini pada Ahad.

Tambahnya kesemua 15 pengusaha pertanian nanas di Kiulu juga akan menjalani latihan terperinci berkenaan teknologi agropelancongan yang akan diaplikasikan di Taiwan tahun hadapan.

“Sudah semestinya, penyertaan antarabangsa dalam program ini mendapat sokongan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), yang menjemput universiti terbabit, manakala daerah Kiulu turut terpilih selepas menghantar kertas cadangan projek mereka.

“Kini, kita sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Cittaslow City, di mana pembangunan di kawasan tersebut dijalankan secara perlahan bagi memastikan keseimbangan antara alam sekitar, kehidupan dan ekonomi.

Dengan pengiktirafan itu, beliau berkata Kiulu bakal menempatkan dirinya di peta dunia kerana Cittaslow City hanya dilaksanakan di beberapa negara termasuk Taiwan.

“Jika berjaya, Kiulu bukan sahaja dikenali sebagai destinasi pelancongan, malah juga sebagai Cittaslow City bertaraf antarabangsa,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda