Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Wanita Tular Mengamuk di Klinik Diarah Jalani Penilaian di Hospital Bahagia

By 20 November 2025November 21st, 2025Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 20 Nov (MalaysiaAktif) – Mahkamah Majistret Selayang hari ini mengarahkan seorang wanita yang bertindak agresif dan mengganggu ketenteraman awam di sebuah klinik kesihatan, di sini semalam menjalankan penilaian di Hospital Bahagia.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata mahkamah yang tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh juga menetapkan 19 Disember depan untuk sebutan semula kes.

“Polis telah menjalankan siasatan ke atas kes berkenaan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 selepas melakukan tangkapan terhadap wanita berusia 20-an itu hasil laporan yang diterima, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian sekitar 12.25 tengah hari itu, suspek dilaporkan datang bersama anaknya untuk mendapatkan rawatan sebelum mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan awam dan pesakit lain.

Suspek turut bertindak meludah selain berdiri di atas kerusi di ruang menunggu sambil memaki hamun mereka yang berada di lokasi.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi seminit 22 saat memaparkan seorang wanita ditahan selepas ‘mengamuk’ di sebuah klinik kesihatan.

-RI

Tinggalkan komen anda