
Laporan/foto: Mahrani Mohamad/Mohd Rizal Abd Rahman (Kulim)
KULIM, 20 Nov (MalaysiaAktif) – Seorang penternak ikan tilapia di halaman rumahnya di Sedim, di sini berjaya menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan hasil permintaan tinggi daripada restoran dan penduduk setempat.
Mohamad Bakar, 67, pada awalnya memulakan penternakan itu sebagai aktiviti mengisi masa lapang, namun minat tersebut berkembang menjadi sumber rezeki utama keluarga.
Menggunakan konsep landskap halaman rumah, kawasan halaman rumahnya diubah suai bagi menempatkan sangkar dan kolam ternakan tilapia, sekali gus mewujudkan persekitaran yang menarik serta praktikal.
“Saya memilih tilapia kerana spesies ini mudah diurus, tahan lasak dan cepat membesar. Permintaan pula sentiasa stabil, jadi ia sangat sesuai bagi penternak kecil seperti saya,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
Untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, beliau juga menambah empat lagi kolam tambahan.
Usahanya diperkukuh dengan sokongan agensi kerajaan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta dorongan komuniti setempat yang sentiasa memberikan semangat dan bantuan teknikal.
Sokongan itu ternyata memudahkan Mohamad mengembangkan perusahaan akuakultur secara lebih sistematik dan berdaya saing.
Perusahaan penternakan tersebut bukan sahaja meningkatkan ekonomi keluarga, malah memberi impak positif kepada komuniti Sedim apabila ia membuka peluang bekalan ikan segar secara konsisten kepada penduduk dan peniaga tempatan, sekali gus menyemarakkan aktiviti ekonomi setempat.
-RI





