
Laporan/foto: Khairul Nizam (IPN)
REMBAU, 20 Nov (MalaysiAktif) – Masjid Baharu Kariah Bongek bagi menggantikan masjid lama yang musnah dalam kebakaran pada tahun 2021 siap dibina dan diserahkan secara rasmi oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini hari ini.

Ucapan Perasmian oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.
Aminuddin dalam ucapannya menegaskan kepentingan masjid berkenaan sebagai pusat penyatuan masyarakat.
“Masjid ini bukan sekadar bangunan baharu, tetapi simbol kekuatan komuniti. Kejayaan pembinaannya bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk memakmurkan rumah Allah,” katanya, di sini hari ini.
Aminuddin turut memuji Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan dan kontraktor projek kerana berjaya menyiapkan pembinaan masjid berkenaan mengikut jadual tanpa sebarang lanjutan masa (EOT).

Aminuddin bersama tetamu kehormat dan ahli kariah Masjid Bongek.
Penduduk, Zainab Omar, 45, berkata kemudahan baharu seperti tempat letak kereta tambahan dan sistem keselamatan di masjid tersebut memberi nilai besar kepada masyarakat.
“Ruang lebih luas, tempat wuduk lebih tersusun, dan ada CCTV. Memang banyak perubahan untuk keselesaan jemaah,” katanya.
Masjid baharu itu dibina di tapak seluas 1.13 ekar dan kini bersedia menjadi pusat aktiviti dan pembangunan ummah bagi komuniti setempat.
-RI





