
Laporan/foto: Memi Yusoff (Selangor)
SHAH ALAM, 22 Nov (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 (KBBM 2025) kini sedang berlangsung dengan penuh meriah di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari, bermula 21 hingga 23 November ini membawakan pelbagai segmen jualan, aktiviti keluarga dan program advokasi pengguna, seiring usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendekatkan perkhidmatannya kepada masyarakat.

Wahidah (kiri) memberi penerangan kepada pengunjung mengenai pameran di reruai KPDN.
Ketua Unit Inter Agensi/ Desk Officer AMLA/Media, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor Nor Wahidah Muhamad, berkata pihaknya amat mengalu-alukan kehadiran masyarakat ke karnival kali ini.
“Kami menjemput seluruh rakyat Selangor dan Lembah Klang untuk memeriahkan Jelajah Karnival KPDN 2025 di Shah Alam.
“Inilah peluang terbaik untuk menikmati jualan rahmah, menyokong produk tempatan serta mengikuti pelbagai aktiviti keluarga dan pendidikan pengguna yang telah kami sediakan,” katanya ketika ditemui di Program Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025, di sini semalam.
Beliau turut menegaskan kepentingan sokongan masyarakat terhadap produk tempatan.
“Dengan memilih barangan buatan Malaysia, kita sebenarnya membantu memacu ekonomi domestik dan memperkukuh perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan. Kami berharap pengunjung dapat merasai manfaat langsung inisiatif-inisiatif ini,” katanya.
Karnival dibuka kepada pengunjung bermula 9.00 pagi hingga 11.00 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada Ahad ia berlangsung dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Antara tarikan utama ialah Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus bagi pelbagai barangan keperluan asas. Turut diadakan Jualan Back-to-School bagi membantu ibu bapa membuat persiapan persekolahan tahun depan.
Pengunjung juga boleh membeli belah di khemah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang merupakan platform khas bagi memperkenalkan dan mempromosikan produk jenama-jenama tempatan kepada pengunjung.
Selain itu, Menu RAHMAH turut menjadi tumpuan dengan set makanan dan minuman berharga serendah RM5.00.

Jualan Back to School bagi membantu ibu bapa membuat persiapan awal sesi persekolahan tahun depan.
Suasana karnival turut dimeriahkan dengan aktiviti kekeluargaan seperti Pertandingan Mewarna, Eksplorasi Mini KPDN dan Meet & Greet Didi & Friends, menjadikannya destinasi pilihan keluarga sepanjang hujung minggu.
Pengunjung juga berpeluang menimba ilmu melalui sesi Pocket Talk daripada agensi di bawah KPDN yang berkongsi maklumat berkaitan hak pengguna, advokasi kepenggunaan dan program bantuan kerajaan.
Karnival ini akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada hari ini di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Orang ramai dijemput hadir untuk menikmati pelbagai tawaran menarik, program penerangan serta aktiviti komuniti sepanjang karnival.
-RI





