
Laporan/foto: M Zakry Chan/Facebook Lembaga Perumahan Melaka
MELAKA, 22 Nov (MalaysiaAktif) – Penganjuran Ekspo Rumah Mampu Milik (RMM) Negeri Melaka 2025 menjadi landasan strategik dan inklusif yang menyatukan rakyat, pemaju serta pihak kerajaan, komitmen kerajaan terhadap isu perumahan diterjemah secara nyata, tersusun dan mudah diakses.

Zulkiflee melawat reruai pameran pemaju perumahan dan agensi berkaitan.
Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Datuk Zulkiflee Mohd Zin, objektif utama ekspo ini tentunya membuka peluang kepada rakyat Melaka untuk menilai dan membuat pilihan kediaman yang sesuai mengikut keperluan dan aspirasi masing-masing.
“Tahun ini, Ekspo Rumah Mampu Milik tampil lebih dinamik menghimpunkan 13 pemaju perumahan swasta, yang menawarkan Rumah Kos Rendah, Rumah Kos Sederhana Rendah, Rumah Mampu Milik Impian A serta Rumah Mampu Milik B.
“Sebanyak 1,116 unit Rumah Mampu Milik ditawarkan, meliputi pembangunan di ketiga-tiga daerah di Melaka, dengan harga bermula 70 ribu ringgit hingga 250 ribu ringgit,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut yang berlangsung di Centre Court, Dataran Pahlawan, di sini semalam.

Zulkiflee melawat reruai pameran pemaju perumahan dan agensi berkaitan.
Ekspo tahun ini menampilkan kelainan kios interaktif semakan kelayakan Rumah Mampu Milik serta paparan maya projek- projek perumahan yang membolehkan pengunjung melihat kediaman secara lebih dekat.
Selain itu, terdapat juga agensi seperti Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Perbadanan Pr1ma Malaysia, Melaka Finance House (MFH) dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SKJP) dan institusi perbankan seperti BSN bagi membantu rakyat mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pembiayaan.
-RI





