Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Larian Mee Bandung Muar 2025 Mengetengahkan Keunikan Gastronomi dan Warisan Budaya Tempatan

By 23 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Shazreen Suradi/Pejabat Daerah Muar (Muar)

MUAR, 23 Nov (MalaysiaAktif) – Larian Mee Bandung Muar 2025 memberikan peluang kepada peserta menikmati keindahan panorama bandar Muar yang terkenal dengan sejarah serta identiti budayanya.

Peserta menikmati mi bandung yang disediakan penganjur setelah selesai larian.

Pegawai Daerah Muar Zainal Eran, berkata penganjuran program itu juga selaras dengan usaha mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026, khususnya dalam mengetengahkan keunikan gastronomi dan warisan budaya tempatan.

“Program ini bukan sekadar acara larian, sebaliknya platform untuk memperkenalkan hidangan ikonik mi bandung Muar kepada masyarakat serta memartabatkan Muar sebagai destinasi kulinari utama negeri Johor,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di perkarangan Istana Tanjung, Pejabat Daerah Muar, di sini semalam.

Menurutnya, suasana acara turut dimeriahkan dengan juadah percuma seperti air balang, apam balik, putu piring dan mi siput, selain cabutan bertuah yang menyaksikan seorang peserta membawa pulang hadiah utama iPhone 17 Pro bernilai RM5,500.

Pemenang Hadiah Cabutan Bertuah Utama, IPhone 17 Pro.

Katanya, penganjuran tersebut berjaya mengukuhkan semangat komuniti dan meninggalkan kenangan manis kepada semua pihak yang terlibat, sekali gus membuka ruang untuk diteruskan pada masa hadapan.

Acara riadah sejauh lima kilometer anjuran Pejabat Daerah Muar dengan kerjasama Persatuan Pelancongan, Seni dan Warisan Daerah Muar serta Majlis Perbandaran Muar, menampilkan konsep pelancongan sambil berlari berjaya menarik penyertaan lebih 1,500 peserta.

-RI

Tinggalkan komen anda