Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Hujan Lebat Sejak Tengah Malam, Banjir Kilat Landa Hulu Langat

By 24 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Mohamad Syafiq Mohamad Saleh

HULU LANGAT, 24 Nov (MalaysiaAktif) – Beberapa kawasan di Hulu Langat dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak lewat malam tadi, menyebabkan beberapa laluan utama dan kediaman penduduk terjejas.

Razali (kiri) meninjau situasi banjir kilat di sekitar Hulu Langat.

Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Parlimen Hulu Langat Razali Abdul Aziz berkata paras air sungai mula meningkat pada awal pagi sebelum melimpah ke jalan utama berdekatan hingga menyebabkan air memasuki beberapa rumah penduduk.

“Kawasan yang terjejas ialah Batu 16 dan Kampung Sungai Serai,” katanya ketika ditemui di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, di sini hari ini.

Berikutan situasi tersebut, Pegawai Daerah Hulu Langat Datuk Jusni Hashim, telah mengisytiharkan pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai bagi menempatkan mangsa yang terlibat.

Bangunan masjid dan rumah di Sungai Serai yang dilanda banjir.

“Setakat jam 2 petang, seramai 41 mangsa daripada 18 keluarga telah dipindahkan ke PPS berkenaan,” katanya.

Pihak polis turut menutup beberapa laluan di sekitar Dusun Tua sebagai langkah keselamatan, manakala pemantauan rapi diteruskan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Penduduk setempat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat terkini yang disalurkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

-RI

Tinggalkan komen anda