
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 25 Nov (MalaysiaAktif) – Program Toleransi Sifar Keganasan menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu gangguan seksual serta memperkukuh perlindungan wanita, khususnya di kawasan pelancongan utama seperti Langkawi.
Program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sebuah hotel di sini semalam itu turut memberi tumpuan kepada usaha memastikan Langkawi kekal sebagai destinasi pelancongan selamat menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tetamu jemputan yang hadir.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata aspek keselamatan pengunjung dan komuniti tempatan perlu diperkasa bagi mengekalkan reputasi Langkawi sebagai tumpuan pelancong antarabangsa.
“Langkawi perlu mengekalkan imej sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan beradab, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Beliau turut menegaskan keberkesanan pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2022 serta peranan Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) yang telah memudahkan mangsa mendapatkan keadilan dengan lebih cepat.
“Setakat September 2025, sebanyak 44 daripada 63 kes berjaya diselesaikan melalui TAGS,” jelasnya.
Program tersebut juga selari dengan kempen kebangsaan Elimination of Violence Against Women (EVAW) yang menggalakkan masyarakat menolak semua bentuk keganasan terhadap wanita.

Rahimah berasa amat bersyukur dan bertuah kerana dapat menghadiri program.
Peserta, Rahimah Mohamed Ali, 62, berkata program berkenaan memberi pendedahan berguna terutama berhubung saluran bantuan kepada mangsa.
“Banyak maklumat penting kami peroleh melalui ceramah dan taklimat yang disampaikan. Program seperti ini patut diteruskan untuk membantu mangsa mendapatkan bantuan dengan cara yang betul,” katanya.
Program Toleransi Sifar Keganasan ini dijangka memperkasa peranan komuniti serta agensi kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan wanita terus terpelihara, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih harmoni dan responsif terhadap isu keselamatan.
-RI





