Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

435 Ketua Kampung di Johor Dilantik Amil Agihan Zakat

By 25 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Mohd Fared Mohd Khalid (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 25 Nov (MalaysiaAktif) – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melantik seramai 435 orang amil agihan zakat yang baharu terdiri daripada ketua kampung di kawasan masing-masing bagi memudahkan pencarian dan pengagihan zakat kepada golongan yang layak dan memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata pelantikan itu menjadikan jumlah keseluruhan amil agihan zakat yang dilantik seramai 547 orang berbanding 112 orang sebelum ini.

“Pelantikan amil agihan zakat dalam kalangan ketua kampung ini bukan sekadar peminpin setempat, tetapi menjadi mata dan telinga kepada MAINJ bagi memastikan tiada asnaf yang tercicir untuk menerima bantuan zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Amanat dan Pentauliahan Amil Agihan Zakat (Ketua Kampung) MAINJ di Pusat Islam Iskandar, di sini semalam.

Sementara itu, Mohd Fared berkata setiap amil yang diberikan tanggungjawab berkenaan perlu memainkan peranan penting dalam komuniti dan memastikan setiap bantuan yang disalurkan terus sampai tepat pada masanya dan memastikan penerima itu sememangnya daripada golongan yang memerlukan.

“Jumlah penerima dalam kalangan miskin tegar berjaya diturunkan daripada 1,653 kes pada 29 Mei lepas kepada kosong kes pada 8 September lepas dan ini merupakan salah satu kejayaan baharu dalam landskap sosial Johor untuk memastikan tiada golongan yang tertinggal atau menghadapi kesempitan hidup di Johor ini dan akan terus terbela,” katanya.

Turut hadir Penasihat MAINJ Datuk Nooh Gadot, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ Mohd Radzi Mohd Amin, dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Nasri Md Ali.

-RI

Tinggalkan komen anda