
Laporan/foto: Khairul Othman/Sharil Alias (IPN)
PORT DICKSON, 25 Nov (MalaysiAktif) – Pendidikan awal dengan gabungan hafazan al-Quran mampu memantapkan nilai-nilai keagamaan dan kecerdasan pemikiran dalam kalangan kanak-kanak.
“Melalui penggabungan elemen penghafazan al-Quran pada peringkat pendidikan awal, kita bukan sahaja menanam asas keagamaan dan rohani, tetapi turut memupuk pemikiran kritis dan kecerdasan emosi.

Mohd Faizal ketika menyampaikan ucapan.
“Ia adalah satu usaha seiring dengan transformasi digital dan warisan budaya kita. Generasi muda perlu dibekalkan bukan hanya dengan ilmu duniawi, tetapi juga nilai murni dan identiti yang kukuh sejak awal,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan Datuk Mohd Faizal Ramli Majlis Khatam Perdana Pra Tahfiz Tabika KEMAS Parlimen Port Dickson, di sini hari ini.
Penganjuran program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menekankan pembelajaran awal kanak-kanak bukan sahaja dalam membaca, menulis dan mengira, tetapi turut meliputi aspek mengaji, menghafaz, menaakul dan nilai kemanusiaan.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) daerah Port Dickson itu disertai seramai 931 pelajar bersama-sama ibu bapa yang hadir bagi memberi sokongan.

Persembahan nasyid oleh pelajar Tadika KEMAS.
Daripada jumlah itu, 341 pelajar berjaya menghafaz antara 16 hingga 30 surah, manakala 24 pelajar mencapai tahap cemerlang dengan menghafaz kesemua surah berkenaan dengan sempurna.
“Tahniah kepada ibu bapa atas sokongan padu mereka dan kepada para pendidik KEMAS kerana dedikasi berterusan dalam mendidik anak-anak dengan amanah penuh.
“Kejayaan anak-anak ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak keluarga dan pendidik serta bukti bahawa pelaburan pada pendidikan awal berasaskan nilai mampu menghasilkan generasi yang berdaya saing, berintegriti dan berakar pada warisan kita,” katanya.
Beliau juga menyeru agar masyarakat terus menyokong inisiatif pendidikan pra tahfiz seumpama ini, kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan rohani dan intelektual, tetapi juga memperkukuh warisan budaya Melayu-Islam dan memanfaatkan potensi teknologi dalam memperluaskan keberkesanan program.
-RI





