Skip to main content
Berita TempatanSabah

PDRM Bersiap Sepenuhnya, Pengundian Awal PRN Sabah Ke-17 Berjalan Lancar

By 25 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud / Sunday Grace Justimus (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 25 Nov (MalaysiaAktif) – Sabah memulakan proses penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini melalui pengundian awal yang melibatkan anggota keselamatan, sebagai persediaan menjelang hari pengundian biasa pada 29 November 2025.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata proses pengundian awal berlangsung dengan teratur meskipun keadaan cuaca pada awal pagi kurang memberangsangkan.

“Walaupun cuaca tidak begitu baik pada mulanya, Alhamdulillah semakin bertambah baik sejak proses pengundian bermula. Kita berharap keadaan ini kekal sehingga petang,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengundian Awal, Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini pada Selasa.

Jauteh bercakap pada sidang media mengenai persiapan keselamatan menjelang PRN Sabah.

Beliau turut memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat persediaan menyeluruh bagi menghadapi pengundian biasa di semua kawasan melibatkan 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Kita akan menggerakkan lebih 12,000 petugas di seluruh Sabah dan insya-Allah semua persiapan telah dilakukan dengan sebaik-baiknya. PDRM sentiasa siap siaga memberikan perkhidmatan terbaik terutama dari aspek keselamatan dan ketenteraman,” katanya.

Menurut Jauteh, pelaksanaan pengundian awal membolehkan semua pegawai dan anggota PDRM memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugasan keselamatan pada hari pengundian biasa.

PDRM juga katanya turut menerima bantuan lebih 1,200 anggota dari Kontinjen Sarawak dan Bukit Aman yang telah berada di Sabah bagi memperkukuh kekuatan pasukan keselamatan.

Anggota polis tiba di pusat mengundi awal untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Beliau menegaskan komitmen penuh PDRM bagi memastikan proses pengundian awal, hari pengundian biasa serta keseluruhan perjalanan PRN Sabah ke-17 berjalan lancar, teratur dan selamat.

“Saya berharap semua pengundi awal di IPK Sabah dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan sempurna. Sebanyak 58 saluran mengundi awal dibuka di seluruh Sabah, melibatkan lebih 13,660 pengundi awal terdiri daripada anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” tambahnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda