Skip to main content
Berita TempatanSabah

PRN Sabah Ke-17, Pengundi Awal PDRM Tunai Tanggungjawab

By 25 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sunday Grace Justimus (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 25 Nov (MalaysiaAktif) – Proses Pengundian Awal di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah berjalan lancar dengan jangkaan melibatkan seramai 1,041 anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Dibuka seawal jam 8 pagi melibatkan tiga saluran, para pengundi yang hadir melalui proses pendaftaran rutin dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk pengundi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Salah seorang pengundi OKU, Sarjan Romeo Tojitun, 47, dari Marin Komunikasi Wilayah 4 Sabah berkata proses pengundian untuk individu OKU dipermudahkan terutama kepada pengguna kerusi roda.

Romeo menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi awal dengan bantuan kemudahan disediakan di Pusat Pengundian Awal.

“Pengundian awal ini sangat memudahkan saya dan pihak SPR banyak membantu dalam memastikan proses berjalan lancar.

“Kemudahan yang disediakan sangat penting untuk anggota beruniform seperti saya, terutamanya bagi yang menghadapi cabaran fizikal seperti pengguna kerusi roda,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengundian Awal, Mes Pegawai Kanan IPK Sabah, di sini pada Selasa.

Sementara itu, Sarjan Frankly R. Galayan, 45, berkata kemudahan undi awal ini bakal memberikan persediaan yang secukupnya kepada anggota yang akan bertugas semasa hari mengundi biasa kelak.

“Saya berasa lega dan bersyukur setelah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal kerana dapat menunaikan hak sebagai pengundi pada hari ini. Mengundi awal ini sangat sesuai diadakan kerana ia membolehkan saya dan rakan lain menunaikan hak sebagai pengundi walaupun sedang bertugas,” katanya.

Frankly berasa puas hati setelah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal dan menghargai peluang yang diberikan kepada anggota beruniform.

Bagi Lans Koperal Evavanna Evan, 32, sebagai rakyat Sabah, hari mengundi adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya demi masa depan negeri.

“Selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal, saya berasa gembira kerana dapat melaksanakan hak saya. Semoga semua pengundi membuat pilihan yang terbaik untuk Sabah,” katanya.

Untuk makluman, hari pengundian awal untuk PRN Sabah Ke-17 berlangsung di 58 pusat pengundian melibatkan seramai 24,426 pengundi awal daripada kalangan anggota polis, tentera dan pasangan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda