Skip to main content
Berita TempatanSabah

1,403 Anggota Tentera, Polis dan Pasangan Mengundi Awal di Semporna

By 25 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Juhara Ali Omar/Muhd Yusuf Muda Dalam Asis (Semporna)

SEMPORNA, 25 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 1,403 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka dalam pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di daerah Semporna hari ini.

Anggota tentera, Zulfhan Jeffrie Ladi, 27, berkata pengalaman mengundi kali ini berbeza berbanding sebelum ini kerana ia merupakan kali pertama beliau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

Zulfhan hadir menunaikan pengundian awal sambil berkongsi pandangannya tentang peranan anggota keselamatan dalam PRN Sabah.

“Sebelum ini saya pengundi awam, tetapi kali ini saya adalah pengundi awal sebagai anggota tentera. Suasanya memang agak berbeza dan saya rasa lebih privasi memandangkan lokasi pengundian berada dalam kem,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Dewan Terbuka Kem Azumi, di sini pada Selasa.

Beliau menambah bahawa menunaikan tanggungjawab sebagai anggota keselamatan dan rakyat adalah penting untuk menentukan hala tuju serta masa depan negeri Sabah yang lebih baik.

“Saya percaya setiap pegawai dan anggota mempunyai pandangan masing-masing untuk membuat keputusan tepat demi memastikan negara kekal kuat, stabil dan selamat. Saya berharap proses pengundian awal berjalan lancar, dan rakyat Malaysia yang layak menunaikan tanggungjawab mengundi bagi memilih pemimpin yang akan memimpin negara,” katanya.

Anggota keselamatan turut hadir bersama keluarga masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mengundi awal di Semporna.

Pusat pengundian awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang ditutup pada pukul 12 tengah hari, termasuk Bilik Mesyuarat Kompeni B, Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semporna, Dewan Nusalanong Wisma Semporna, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Semporna, dan Dewan Terbuka Kem Azumi.

Sementara itu, pengundian awal di DUN Bugaya berlangsung di Dewan Serba Guna Ibu Pejabat Polis serta Pasukan Polis Marin Semporna.

-RJ-

Tinggalkan komen anda