Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Sauk Ikan Loma Aktiviti Musim Tengkujuh di Sungai Rui

By 26 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Senaying Ahud/Husney Hamid (Hulu Perak)

GERIK, 26 Nov (MalaysiaAktif) – Ketibaan musim hujan saban tahun menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan oleh penduduk tempatan untuk melakukan aktiviti menyauk ikan loma di Dataran Loma, Sungai Rui, di sini.

Menyauk merupakan kaedah menangkap ikan menggunakan alat berbentuk kon yang diikat pada sebatang galah panjang.

Dataran Loma antara tarikan menarik di Gerik.

Tradisi ini bukan sahaja menjadi rutin masyarakat setempat malah berkembang sebagai tarikan unik daerah Gerik setiap kali tiba musim tengkujuh.

Penduduk, Melor Ishak, 50, berkata aktiviti ini dilakukan keluarganya sejak zaman ayahnya lagi.

“Musim hujan memang ditunggu. Apabila air sungai mula naik dan keruh, itu tanda ikan loma akan mudik.

“Kami akan turun ke Dataran Loma dengan membawa sauk untuk mencuba nasib. Ada kala sehari mampu peroleh sehingga belasan kilogram,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Melor ketika ditemui.

Fenomena ‘loma mudik’ atau ikan loma yang berenang melawan arus untuk bertelur lazimnya berlaku antara September hingga November.

Pada tempoh itu, kawasan tebing Sungai Rui mula dipenuhi penduduk dan pengunjung membawa sauk masing-masing.

“Bagi pengunjung luar, pengalaman menyauk ikan loma merupakan sesuatu yang baharu dan menyeronokkan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda