Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Guru Nadi Al Ansor Gerak Bantu Khidmat Masyarakat

By 26 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norsaedah Haron (Kluang)

KLUANG, 26 Nov (MalaysiaAktif) – Seramai 20 guru Nadi Al Ansor Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) daerah Kluang berganding bahu bersama Komuniti Kampung Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam untuk melaksanakan program gotong-royong di kawasan tanah perkuburan, balai raya serta Masjid Al Mustagfirin, di sini hari ini.

Guru-guru Nadi Al Ansor Pejabat Pendidikan Islam Daerah Kluang melaksanakan aktiviti gotong royong kemasyarakatan bersama penduduk Kampung Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam.

Program itu dianjurkan sebagai usaha memperkukuh nilai kesukarelawanan dalam kalangan guru agama selain mempererat hubungan antara pendidik, institusi agama dan masyarakat setempat.

Aktiviti pembersihan merangkumi kerja memotong rumput, membersihkan longkang, mengemas ruang solat, mengecat semula kemudahan asas serta mengurus kawasan tanah perkuburan agar lebih teratur dan selamat.

Menurut Penyelia Kokurikulum Pejabat Pendidikan Islam Daerah Kluang Yusuf Fazil, penggerakan Nadi Al Ansor ke lapangan tersebut merupakan satu inisiatif baharu yang membawa guru lebih dekat dengan masyarakat.

“Sebelum ini, para guru banyak terlibat dalam program lawatan dan perkhemahan dan tahun ini kita mahu mereka lebih dekat dengan masyarakat serta memahami keperluan komuniti setempat.

Penyerahan sijil penghargaan kepada Pengerusi Masjid Al Mustagfirin Kampung Dato’ Ibrahim Majid oleh Pegawai Pendidikan Islam Daerah Kluang

“Selain Kampung Dato’ Ibrahim Majid, Nadi Al Ansor turut melaksanakan aktiviti yang sama di Kampung Melayu Niyor pada Isnin lalu dan akan meneruskannya di Felda Kahang Barat pada Jumaat ini,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini hari ini.

Kehadiran penduduk kampung yang turut sama menyertai gotong-royong hari ini mencerminkan kerjasama erat antara pendidik, masyarakat dan pihak masjid dalam memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik serta kondusif untuk kegunaan bersama.

Pegawai Pendidikan Islam Daerah Kluang Mohd Faiz Rohani dan Ketua Kampung Dato’ Ibrahim Majid Mohd Yazid Md. Naim, menzahirkan penghargaan atas komitmen semua sukarelawan yang turun padangdan menjayakan program tersebut.

-RI

Tinggalkan komen anda