Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Mersing Souvenir House Tonjol Kraf Kitar Semula Tarikan Pelancongan Baharu

By 28 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Hanif Ahmad/Facebook Mersing Souvenir House (Mersing)

MERSING, 28 Nov (MalaysiaAktif) – Inisiatif komuniti melalui penubuhan Mersing Souvenir House (MSH) semakin mendapat perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa apabila berjaya memperkenalkan produk kraf berasaskan bahan kitar semula sebagai identiti baharu daerah ini.

Ditubuhkan pada Oktober tahun lepas dengan sokongan geran SejaTi MADANI berjumlah RM100,000, MSH berperanan sebagai pusat perusahaan sosial yang memfokuskan kreativiti penduduk setempat di samping memperkukuh aktiviti pendidikan alam sekitar.

Ahmad Firdaus bersama pengunjung di Mersing Souvenir House.

Pengurus MSH Ahmad Firdaus Shaik Omar berkata penubuhan pusat itu bukan sekadar menghasilkan cenderahati, malah membuka peluang kepada masyarakat menjana pendapatan melalui penghasilan produk kraf.

“Kami mahu Mersing dikenali bukan hanya kerana pulau dan pantainya, tetapi juga kreativiti masyarakatnya.

“Melalui penggunaan bahan terpakai seperti penutup botol, kotak dan plastik, kami menghasilkan magnet peti sejuk, keychain serta hiasan yang mencerminkan identiti Mersing,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Tambah Ahmad Firdaus, selain menyediakan ruang jualan, MSH turut melatih dan membimbing bakat baharu termasuk golongan B40, asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menyertai perusahaan kraf berkenaan.

Mersing Souvenir House aktif menyertai pameran di dalam dan luar daerah mewakili daerah Mersing.

“Model perusahaan sosial ini memberi ruang kepada mereka yang mempunyai kekangan tertentu untuk turut serta. Mereka boleh menghasilkan produk dari rumah atau menyertai sesi pembuatan di MSH,” katanya.

Beliau berkata usaha itu bukan sahaja meningkatkan pendapatan masyarakat, malah membuktikan keberkesanan bantuan kerajaan dalam memperkukuh ekonomi setempat.

MSH turut menawarkan bengkel kraf kepada pelajar dan pelancong, termasuk penyertaan antarabangsa.

“Pada Julai lalu, seramai 20 pelajar dari Perancis mengikuti bengkel menghasilkan replika penyu menggunakan bahan kitar semula serta diperkenalkan kepada permainan tradisional seperti gasing.

“Inisiatif seperti ini selaras dengan usaha kerajaan negeri mempromosikan pelancongan mesra alam khususnya di kawasan pantai timur Johor yang kaya dengan biodiversiti,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda