
Oleh Syed Hisham Shah (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 14 Sept (Malaysiaktif) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu akan dilaksanakan berlandaskan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
SPR turut melaksanakan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri Sabah selaras dengan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang telah diwartakan pada 18 Ogos 2016.
Setiausaha SPR, Datuk Haji Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan medianya menyatakan, SPR akan mempamerkan Syor Kajian semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan sabah secara serentak selama satu bulan bermula 15 September 2016 bagi tujuan semakan dan bantahan.
“Bagi maksud Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, SPR mengesyorkan bahawa tiada perubahan pada bilangan bahagian, namun terdapat pindaan dan perubahan pada nama bahagian-bahagian.
“Manakala bagi Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri Sabah, SPR mengesyorkan pertambahan tiga belas bahagian daripada 60 bahagian menjadikan jumlah keseluruhan bahagian adalah sebanyak 73. Seperti juga negeri-negeri Tanah Melayu, turut terdapat perubahan pada nama bahagian-bahagian,” ujarnya dalam kenyataan itu.
Sebarang bantahan terhadap syor-syor yang dicadangkan ini hendaklah dikemukankan secara bertulis kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi negeri yang berkenaan dalam tempoh masa satu bulan dari tarikh 15 September 2016 dan berakhir pada 14 Oktober 2016.