Oleh Syed Hisham Shah (Putrajaya) / Foto ikhsan DCA
PUTRAJAYA, 14 Sept (Malaysiaktif) – Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan pihaknya menerima makluman mengenai penemuan serpihan pesawat di Madagascar baharu-baharu ini yang dipercayai daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman dalam kenyataan medianya menyebut, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) telah memaklumkan telah menjumpai serpihan pesawat pada 12 September yang lalu.
DCA juga sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan Afrika Selatan, Mozambique dan Madagascar memandangkan lebih serpihan akan dikeluarkan.
Sebarang serpihan yang ditemui akan dimaklumkan kepada DCA dan disimpan oleh pihak berkuasa yang menemui serpihan tersebut.
Pihak DCA kini dalam proses memohon bantuan dan kerjasama daripada Pesuruhjaya Tinggi di Pretoria, Afrika Selatan untuk mengambil serpihan-serpihan yang ditemui dan menghantarnya ke Malaysia.
DCA juga meminta semua pihak terlibat untuk memberikan ruang kepada pakar untuk mengesahkan penemuan terlebih dahulu, dan sebarang pengumuman hanya akan dibuat sejurus proses pemeriksaan selesai.
Serpihan yang ditemui tersebut kini diserahkan kepada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) untuk tujuan pemeriksaan. Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mengesahkan penemuan serpihan tersebut adalah daripada pesawat MH370.