
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Dungun)
DUNGUN, 1 Dis (MalaysiaAktif) – Musim tengkujuh biasanya dikaitkan dengan hujan lebat dan aktiviti harian terhad, namun bagi sesetengah peniaga, seperti penjual ubi kayu, cuaca sejuk ini membuka peluang rezeki yang tidak disangka.

Nur Fatihah Romli mengambil peluang pada musim tengkujuh dengan menjual ubi kayu dan menjadi punca rezeki setiap tahun.
Bagi Nur Fatihah Romli, 31, dari Kampung Batu Tiong, musim tengkujuh bukan lagi cabaran sebaliknya peluang lumayan apabila jualan ubi kayu yang dimulakan sekadar membantu bapanya yang hanya mahu dikenali sebagai Pok Man, kini menjadi sumber pendapatan tidak disangka.
Menurutnya, ubi kayu yang dijual pada harga RM10 bagi tiga kilogram mendapat permintaan luar biasa sehingga habis terjual setiap hari dan dalam tempoh empat hari sahaja, Nur Fatihah berjaya mengumpul lebih RM1,000 hasil jualan.
“Biasanya saya mula berniaga dari pukul 3 hingga 7 malam. Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan terutama waktu hujan,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Normah Ahmad merupakan pelanggan tetap ubi kayu dan menjadi menu wajib baginya setiap kali musim tengkujuh tiba.
Bagi pelanggan tetapnya, Normah Ahmad, 41, ubi kayu menjadi menu wajib setiap kali musim tengkujuh tiba.
“Ubi kayu memang ‘kena’ dengan musim hujan. Selalunya saya rebus dan makan dengan kelapa parut, mudah tetapi memang sedap,” katanya.
Ubi kayu bukan sahaja mengenyangkan, malah menjadi penyumbang kecil yang menghangatkan ekonomi para peniaga tempatan sepanjang Monsun Timur Laut di pantai timur.
-RI





