
Laporan/foto: Manjasari Shamsudin/PKMD
SEPANG, 1 Dis (MalaysiaAktif) – Operasi pengurusan banjir di daerah Sepang terus dipergiat secara bersepadu dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Sepang kekal mengetuai barisan hadapan di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak 28 November lepas.
Langkah siap siaga itu diambil susulan limpahan air yang menjejaskan beberapa kawasan rendah di sekitar daerah ini, menyaksikan sembilan PPS dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas.

Aiman ketika menyantuni mangsa banjir.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangkap Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu yang turun padang meninjau keadaan semasa di PPS Sekolah Kebangsaan Salak dan PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Dengkil, di sini semalam, menegaskan bahawa kebajikan mangsa menjadi keutamaan kerajaan dalam menghadapi bencana ini.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua mangsa terpelihara.
“Saya amat menghargai komitmen tinggi petugas barisan hadapan yang terus bekerja tanpa henti demi memastikan bantuan sampai kepada setiap individu yang memerlukan,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, Aiman menyantuni mangsa banjir serta menyampaikan sumbangan sebuah kerusi roda kepada waris mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan Salak yang memerlukan bantuan mobiliti.

Aiman bersama petugas barisan harapan di Sekolah Kebangsaan Salak.
Beliau yang diiringi wakil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Sepang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut menzahirkan penghargaan kepada petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi keselamatan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menguruskan pendaftaran, logistik, penyediaan makanan serta memberikan sokongan psikososial kepada mangsa.
Sementara itu, empat PPS iaitu Dewan Orang Ramai Dengkil, Dewan Orang Ramai Kampung Dato’ Ahmad Razali, Desa Timah Langat dan Sekolah Rendah Agama Jenderam Hilir telah ditutup rasmi selepas keadaan di kawasan tersebut kembali stabil.
Manakala, PPS yang masih beroperasi terus dipantau rapi oleh petugas JKM bagi memastikan keperluan asas mangsa dipenuhi sepenuhnya.
Orang ramai dinasihatkan supaya terus peka dengan perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat rasmi daripada agensi berwibawa demi keselamatan bersama.
-RI





