Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

MAHA 2026 Sasar MoU, MoA Bernilai RM8 Bilion

By 4 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Mohd Afiqq Rahman (Selangor)

SERDANG, 4 Dis (MalaysiaAktif) – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dijangka menjadi penganjuran paling berimpak tinggi apabila menyasarkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) bernilai RM8 bilion.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (dua dari kiri) melawat reruai pameran selepas merasmikan Majlis Prapelancaran MAHA 2026, semalam.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pameran yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September tahun depan itu turut menjangkakan transaksi jualan mencecah RM58 juta melibatkan penyertaan 2,000 pempamer serta penglibatan 800,000 belia di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.

“MAHA 2026 dijangka menarik empat juta pengunjung, dengan pelbagai tarikan seperti pameran bunga, agroteknologi, pesta makanan, pertandingan agro, persembahan laser, sukan rakyat, Rhythm of the Farmers (ROTF), rewang warisan, taman burung, agro safari serta program khas untuk usahawan muda.

“Keseluruhan pengalaman ini bukan sahaja memberi pengetahuan dan pendedahan baharu kepada pengunjung tetapi turut menyemarakkan minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian,” katanya pada majlis pra pelancaran pameran itu, di sini semalam.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) bergambar bersama Rakan Strategik dan Rakan Acara MAHA 2026.

Tambahnya, MAHA 2026 yang mengangkat tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ akan memfokuskan kepada usaha meningkatkan nilai hasil pertanian melalui inovasi dan teknologi.

“Kita hendak tunjukkan bahawa sektor pertanian bukan lagi dianggap pilihan terakhir, tetapi mampu menawarkan pendapatan lebih baik melalui penciptaan nilai,” katanya.

Beliau berkata penyertaan dalam MAHA 2026 akan membolehkan pemain industri memperkukuh jaringan pelanggan, membina hubungan antarabangsa serta mengetahui perkembangan dan jenama pasaran terkini sekali gus meningkatkan daya saing.

MAHA 2026 juga bakal menjadi platform utama memperkenalkan teknologi pertanian baharu, produk serta perkhidmatan agromakanan kepada pasaran lebih luas, selain membuka peluang dagangan, pelaburan, kolaborasi dan perkongsian teknologi dalam sektor agro.

-RI

Tinggalkan komen anda