
Laporan/foto: M Zakry Chan/Facebook Ab Rauf Yusoh
MELAKA, 4 Dis (MalaysiaAktif) – Peminat motosikal RXZ akan ‘digegaukan’ dengan sebuah Proton S70 sebagai cabutan bertuah RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025 yang bakal berlangsung di MITC Ayer Keroh pada 12 dan 13 Disember ini.

Penyerahan Grand Prize RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata sambutan kali ini dijangka menarik lebih ramai pengunjung berbanding 60,000 yang dicatatkan pada tahun lepas ekoran tawaran hadiah cabutan bertuah yang makin menarik.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menasihatkan kepada semua pengunjung agar mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak menjadikannya sebagai lokasi perlumbaan.

Sidang Media oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Jom datang ke Melaka, kita mengeratkan silaturahim dan berkenalan dengan rakan peminat RXZ dari seluruh negara,” katanya selepas Majlis Penyerahan Grand Prize RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025, di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad.
-RI





